Chegubard tidak layak tanding pilihan raya

JOHOR BAHRU  10 Julai – Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, hilang kelayakan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Sembilan selepas didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali, berkata berdasarkan Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan Chegubard hilang kelayakan sebagai calon pilihan raya

.“Kita memohon supaya Chegubard tidak dikenakan hukuman penjara dan Alhamdulillah, mahkamah tidak menjatuhkan hukuman itu.

10 jul turut memohon supaya jumlah denda tidak melebihi RM2,000 kerana mengikut Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, mana-mana individu yang dikenakan denda RM2,000 atau lebih akan hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya,” katanya.

Menurut Muhammad Rafique, pihaknya juga sudah memaklumkan secara terbuka kepada mahkamah bahawa pada 18 Julai ini (hari penamaan calon) Chegubard diberikan amanah oleh Parti Wawasan Negara (Wawasan), untuk bertanding pada PRU DN Negeri Sembilan

“Namun, dengan hukuman denda RM5,000 ini, Chegubard tidak lagi boleh bertanding. Itulah keputusan mahkamah dan kami akur serta menghormatinya,” katanya ketika ditemui selepas prosiding keputusan di sini, hari ini.

Muhammad Rafique berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen itu dalam masa terdekat.

“Saya berpendapat kami mempunyai asas yang kukuh untuk rayuan dan berharap doa daripada seluruh rakyat Malaysia agar Chegubard berjaya dalam rayuan di Mahkamah Tinggi,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap Chegubard, 48, selepas didapati bersalah atas pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut dua tahun lalu.

Hakim Rasidah Roslee membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan pada akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan Chegubard dipenjara selama 20 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Chegubard didakwa menerbitkan penerbitan menghasut menerusi media sosial kira-kira pukul 6.30 petang pada 26 April lalu.

Menerusi hantaran itu, beliau didakwa mengaitkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; serta dua individu yang didakwa sebagai taikun judi dengan projek kasino di Forest City.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Related posts

Leave a Comment