TEHRAN – Kurang sebulan selepas Israel melancarkan kempen pengeboman yang belum pernah berlaku pada 13 Jun lalu, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian dalam satu temu bual yang disiarkan semalam mendakwa, Israel cuba membunuhnya.
Menurut laporan media, Pezeshkian mendakwa, Israel cuba membunuhnya semasa perang baru-baru ini iaitu ketika beliau berada dalam mesyuarat.
“Ya, mereka memang mencuba. Mereka bertindak sedemikian, tetapi mereka gagal. Ia bukan Amerika Syarikat (AS) yang menjadi dalang cubaan membunuh saya. Ia adalah Israel.
Saya sedang berada dalam mesyuarat… mereka cuba mengebom kawasan tempat mesyuarat itu berlangsung,” katanya merujuk kepada cubaan pembunuhan semasa perang baru-baru ini.
Pezeshkian berkata demikian kepada personaliti media AS, Tucker Carlson, ketika ditanya sama ada beliau percaya Israel cuba membunuhnya.
Menurut Foundation of Martyrs and Veterans Affairs Iran, sekurang-kurangnya 1,060 orang terbunuh di negara itu semasa konflik yang turut mengorbankan beberapa komander tentera dan saintis nuklear kanan Iran.
Serangan Israel mengundang tindak balas besar-besaran dalam bentuk serangan dron dan peluru berpandu dari Iran, yang mengorbankan 28 orang di Israel.
Perang 12 Hari dan Rundingan Nuklear Tergendala dalam perang tersebut dengan Israel dan AS melancarkan serangan ke atas kemudahan nuklear Iran di Fordo, Isfahan dan Natanz. Satu gencatan senjata antara Iran dan Israel juga berkuat kuasa sejak 24 Jun lalu.
Pada 16 Jun, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu tidak menolak kemungkinan akan membunuh Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dengan mengatakan ia boleh ‘mengakhiri konflik’ namun Presiden AS Donald Trump menolak rancangan itu.
Sepanjang perang itu, pihak berkuasa Iran juga mendedahkan bahawa satu rancangan Israel untuk membunuh Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, yang turut digagalkan.
Dalam temu bual bersama Carlson, Pezeshkian menuduh Netanyahu membawa agenda peribadinya untuk ‘perang berpanjangan’ di Asia Barat dan menggesa AS tidak terlibat dalam perang yang bukan milik AS sebaliknya perang Netanyahu.
Beliau berkata, Iran ‘tidak mempunyai masalah’ untuk memulakan semula rundingan nuklear, dengan syarat kepercayaan dapat dibina semula antara kedua-dua negara.
“Kami tidak melihat sebarang masalah untuk menyertai semula rundingan, namun bagaimana kami boleh yakin bahawa ketika rundingan berlangsung, rejim Israel tidak akan sekali lagi diberikan kebenaran untuk menyerang kami?” kata Pezeshkian.
Pezeshkian juga menyatakan, Iran terbuka untuk pelaburan dari AS sekiranya sekatan ekonomi ke atas Tehran ditamatkan.
Beliau berkata, Presiden AS cukup berkemampuan untuk membawa rantau ini ke arah keamanan dan masa depan yang cerah serta meletakkan Israel di tempat yang sepatutnya — atau membiarkan dirinya terperangkap dalam lubang lumpur tanpa penghujung, iaitu perang yang Netanyahu mahu AS terbabit di dalamnya.
Nnnn
