KUALA LUMPUR 8 Julai – Ahmad Zahid Hamidi tampil memohon ampun dan maaf atas ketelanjuran kata-katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading kelmarin.
Presiden UMNO itu berkata, kenyataan itu lahir dalam suasana penuh emosi, sebagai usaha menggambarkan betapa mencabarnya ujian sebagai pemimpin.
Ketika berucap kepada perwakilan, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri mengaitkan malaikat dengan tanggungjawabnya sebagai Presiden UMNO yang akhirnya tular dan mendapat kecaman di media sosial.
“Beberapa hari ini, telah tular sebuah video yang mengaitkan ucapan saya menyatakan satu perumpamaan tentang malaikat yang diungkapkan dalam konteks tekanan yang saya hadapi ketika memegang amanah sebagai Presiden UMNO.
Hakikatnya, kenyataan itu lahir dalam suasana penuh emosi, sebagai usaha menggambarkan betapa mencabarnya ujian sebagai pemimpin. Namun saya akui, perbandingan tersebut telah mencetuskan kekeliruan dan boleh disalah tafsir.
Sebagai seorang Muslim dan pemimpin parti yang menjunjung tinggi nilai dan prinsip Islam serta tradisi keilmuan, saya dengan rendah hati memohon ampun pada Allah dan meminta maaf pada semua atas kekhilafan dalam keterlanjuran lafaz kata-kata ini,” katanya dalam kenyataan melalui Facebooknya.
Ahmad Zahid berkata, beliau menerima setiap teguran dengan hati terbuka dan percaya, nilai seorang pemimpin bukan hanya terletak pada ketepatan tutur katanya, tetapi juga pada keikhlasannya untuk menginsafi, memperbaiki diri, dan belajar daripada kesilapan.
“Mudah-mudahan Allah SWT membimbing setiap langkah dan tutur kita semua agar sentiasa berada dalam adab yang mulia, terpelihara akidah, dan berpaut teguh pada kebenaran yang hakiki,” katanya.
Nnnn
