55,000 di PPS tiga negeri

KUALA LUMPUR 5 Mac – Setakat pukul 8 malam ini, hampir 55,000 orang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri Johor, Melaka dan Pahang manakala keadaan banjir di Selangor dan Negeri Sembilan pulih sepenuhnya.

Johor terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 50,596 orang di mana Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan 15 lagi PPS dibuka, menjadikan jumlah keseluruhan 268 pusat beroperasi di semua 10 daerah.

Batu Pahat paling teruk terjejas dengan 19,883 mangsa daripada 5,619 keluarga diikuti Segamat 13,527 orang daripada 3,969 keluarga, Kluang 4,893 orang/1,402 keluarga, Muar (p4,235 orang/1,250 keluarga dan Kota Tinggi 3,209 orang/851 keluarga.

Tangkak menempatkan 3,003 mangsa daripada 879 keluarga, Mersing (1,103 mangsa/326 keluarga), Johor Bahru (393 mangsa/132 keluarga), Pontian (286 mangsa/72 keluarga) dan Kulai (64 mangsa/15 keluarga).

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Melaka terus meningkat kepada 595 orang daripada 147 keluarga setakat 8 malam, berbanding 516 orang daripada 138 keluarga pada 2 petang tadi.

Peningkatan itu membabitkan mangsa yang terjejas di daerah Jasin, iaitu 585 orang daripada 144 keluarga dan mereka ditempatkan di lima PPS, manakala satu PPS di Alor Gajah menempatkan 10 mangsa daripada tiga keluarga.

Di Pahang,  jumlah mangsa banjir malam ini berkurangan kepada 3,014 orang di 21 PPS, berbanding 3,042 orang di 22 PPS petang tadi.

Rompin merekodkan mangsa paling ramai iaitu 2,759 orang, manakala jumlah mangsa di satu PPS di Temerloh 226 orang dan 29 lagi di PPS di Maran.

Sementara itu, PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau Sempak, Sungai Buloh ditutup petang tadi dan semua 13 mangsa daripada dua keluarga dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing manakala di Negeri Sembilan,  PPS SK Sungai Kelamah, Tampin ditutup pada 2.07 petang.

Related posts

Leave a Comment