Kenyataan AGC sahkan tiga perkara – Rafizi

SSEPANG8 Julai  –  Kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung isu kehakiman hari ini secara tidak langsung mengesahkan tiga perkara termasuk kelewatan dalam proses pelantikan dan ada pencalonan dari Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang tidak dipertimbangkan atau tidak diambil tindakan.

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata, kenyataan itu juga mengesahkan bahawa mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang terkini dipanggil tanpa mematuhi notis 10 hari seperti kehendak pentadbiran;

Katanya , kenyataan itu juga mengesahkan bahawa tuduhan seorang hakim Mahkamah Persekutuan terlibat dalam mempengaruhi keputusan mahkamah dan penugasan semula hakim ada dibincangkan di dalam satu mesyuarat JAC.

Rafizi berkata respon yang diberikan oleh AGC terhadap saranan sembilan ahli parlimen PKR semalam mengesahkan kebimbangan mereka secara tidak langsung dan lebih daripada itu, kelewatan pelantikan jawatan penting hakim ketika ini juga membayangkan bahawa ada isu terkait dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

“Sementara saya sedia maklum peruntukan Perlembagaan Persekutuan bahawa tanggungjawab menasihati Yang di-Pertuan Agong adalah kuasa perdana menteri; dan kuasa JAC ialah mengemukakan senarai calon yang telah dipertimbangkan dan ditapis kepada perdana menteri; keadaan bila mana ada kekosongan mendesak dari mahkamah tinggi ke Mahkamah Persekutuan akibat kelewatan pelantikan membayangkan Perdana Menteri tidak bersetuju dengan calon-calon yang telah dikemukakan JAC,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Secara pentadbiran dan undang-undang, tambah Ahli Parlimen Pandan itu lagi, perkara tersebut boleh dijelaskan seperti kenyataan dibuat AGC.

Namun dari sudut pandangan umum, katanya, ia menguatkan spekulasi bahawa cabang eksekutif mahu mempengaruhi pelantikan hakim-hakim yang difikirkan lebih serasi dengan pandangan kerajaan.

“Jika tanggungjawab perdana menteri di bawah perlembagaan ialah melindungi kebebasan, kredibiliti dan integriti badan kehakiman seperti kenyataan AGC, maka perkara-perkara yang boleh mengundang spekulasi seperti itu (cubaan mempengaruhi pelantikan hakim) perlulah dielakkan, kalau pun ia tidak melanggar tatacara prosedur,” katanya.

Menurut Rafizi, AGC tidak berhak menilai atau menentukan dakwaan yang dibangkitkan itu bersifat pramatang atau spekulatif semata-mata dan pada masa sama, AGC mengakui bahawa pertimbangan dalam mesyuarat JAC bersifat rahsia.

“Justeru bagaimana AGC boleh membuat kesimpulan dakwaan-dakwaan itu tidak ada merit? Sebab itulah saya mengesyorkan satu RCI ditubuhkan untuk menyiasat dan memutuskan mengenai dakwaan-dakwaan ini, kerana selagi ia tidak diselesaikan, ia akan mengundang kemarahan kepada pentadbiran perdana menteri,” katanya.

Kata Rafizi lagi integriti badan kehakiman bukan terletak semata-mata kepada aspek susun atur dan perjalanan proses mengikut prosedur sebaliknya apa yang lebih penting,, integriti badan kehakiman perlu diyakini oleh rakyat dan pemegang taruh, yang menilai secara keseluruhan dalam konteks rentetan peristiwa yang berlaku.

Beliau juga berkata, kenyataan yang dikeluarkan AGC hari ini, mengesahkan bahawa kerajaan sendiri mengakui persoalan mengenai integriti badan kehakiman telah menjadi isu nasional.

“Demi mempertahankan imej, adalah lebih baik kerajaan mempertimbangkan saranan kami (ahli-ahli parlimen kerajaan) daripada terus menjadi sasaran kritikan pembangkang,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment