Peneroka haram Israel serang delegasi

RAMALLAH – Delegasi diplomatik yang terdiri daripada wakil dari Perancis, Belgium dan Poland diserang peneroka haram Israel semalam (Sabtu) ketika mereka melawat Bandar Taybeh di bahagian tengah Tebing Barat yang diduduki.

Rakaman video menunjukkan seorang ahli delegasi terbaring di tanah selepas serangan berkenaan yang kemudiannya dikenal pasti sebagai Bernard Boudot, ahli politik Perancis merangkap Datuk Bandar Aulnoy-lez-Valenciennes di utara Perancis.

Serangan itu berlaku selepas satu majlis rasmi menandatangani perjanjian bandar berkembar antara Bandar Taybeh di Palestin dan Bandar Saint-Pierre di Perancis, kata Datuk Bandar Taybeh Suleiman Khourieh.

Majlis berkenaan dihadiri Konsul Perancis dan Belgium, seorang wakil dari Poland yang tidak didedahkan namanya serta Datuk Bandar Saint-Pierre Christian Ravain.

Serangan itu menyasarkan delegasi berkenaan di kawasan barat bandar itu serta penduduk Palestin yang sedang memetik buah zaitun.

Kejadian itu menyebabkan beberapa penduduk tempatan cedera dan cermin kenderaan milik delegasi Belgium pecah.

Saluran 12 Israel yang memetik kenyataan tentera Israel melaporkan bahawa insiden itu kini “dalam semakan” dan tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.

Serangan oleh peneroka haram Israel ke atas warga Palestin dan tanah milik mereka semakin meningkat menjelang musim menuai zaitun yang bermula pada awal Oktober, yang menjadi sumber pendapatan utama bagi ribuan keluarga Palestin

Related posts

Leave a Comment