MANJUNG 6 Julai – Mana-mana ahli yang digantung atau dilucut keahlian perlu menunjukkan kekesalan dan komitmen terhadap perjuangan sekiranya mahu kembali menyertai parti, kata Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata pendekatan berhati-hati dan berhemah perlu diambil dalam menangani mereka yang sebelum ini mengkritik parti atau meninggalkan UMNO dalam keadaan mencetuskan kontroversi.
“Pendekatan kita mestilah berlandaskan kebijaksanaan. Jika tidak, mustahil bagi mereka yang digantung atau bukan lagi ahli UMNO kembali bersama kita,” katanya berucap pada Mesyuarat UMNO Bahagian Lumut di Dewan Merdeka di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi UMNO Perak merangkap Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad dan Ketua UMNO Bahagian Lumut, Dr Zambry Abd Kadir.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), turut memberi contoh seorang bekas pemimpin UMNO dari Kedah yang pernah lantang mengkritik kepimpinan parti namun kini mahu kembali menyertai semula UMNO.
“Ketika beliau menjadi ketua bahagian, seorang tokoh ternama dan usahawan berjaya di negeri itu, dia mengkritik presiden dan UMNO dengan hebat, mengatakan pelbagai perkara,” katanya.
Beliau turut mengambil contoh bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, yang secara konsisten menunjukkan usaha untuk kembali menyertai UMNO selepas dipecat daripada parti.
“Saya bukan kejam. Saya bawa perkara ini ke Majlis Kerja Tertinggi dan mereka minta beliau diterima. Maka, kita terima Datuk Seri Tajuddin Rahman,” katanya yang turut menegaskan mana-mana bekas ahli yang mahu kembali menyertai parti perlu mengikuti proses yang sama.