Malaysia catat 106,477 kes HFMD

PUTRAJAYA 22 Jun – Malaysia mencatat 106,477 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) sehingga minggu epidemiologi (ME) ke-24 iaitu pada 12 Jun sehingga 18 Jun lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata jumlah itu adalah peningkatan 39 kali ganda kes berbanding jumlah kes bagi tempoh sama pada tahun lepas iaitu semasa pandemik Covid-19 dengan 2,710 kes. 

“Jika dibandingkan dengan 31,500 kes bagi tempoh sama pada 2019 (sebelum pandemik Covid-19), ia menunjukkan peningkatan 3.4 kali ganda. Kes dilaporkan di seluruh negara bagi ME ke-24 adalah 10,556; menurun 19.3 peratus berbanding ME ke-23 iaitu 13,077 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Dr Noor Hisham berkata Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 29,880 kes, diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya (11,687), Perak (10,938), Johor (7,052) dan Kelantan (6,532). 

Mengikut umur, katanya, seramai 95,175 kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah dijangkiti HFMD manakala 9,183 kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun dijangkiti penyakit itu. 

“Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di taska, tabika, tadika dan prasekolah iaitu 1,131 wabak atau 56 peratus, diikuti rumah persendirian 794 wabak (40 peratus) dan pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 57 wabak (tiga peratus),” katanya. 

Wabak didefinisikan sebagai kejadian kes HFMD dengan jumlah kes dua atau lebih dalam satu lokaliti dan kes mempunyai kaitan epidemiologi serta berlaku dalam tempoh inkubasi penyakit HFMD.

Related posts

Leave a Comment