Lawatan ke Perancis jana potensi pelaburan RM8.13 bilion

KUALA LUMPUR 6 Julai –  Selepas berjaya meraih potensi pelaburan RM8.13 bilion di Itali, misi perdagangan dan pelaburan di Perancis pula berjaya menjana potensi pelaburan bernilai RM4 bilion dan potensi eksport RM675 juta.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), berkata misi yang diketuai oleh Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim itu bertemu 40 wakil sektor perindustrian Perancis.

Beberapa syarikat menyatakan hasrat melabur dalam pembuatan berteknologi tinggi, aeroangkasa, tenaga boleh baharu, pelancongan dan hospitaliti, ekonomi digital serta infrastruktur mampan.

Memetik laporan Bernama, MITI berkata bagi potensi eksport, RM675 juta dijana untuk sektor berimpak tinggi seperti aeroangkasa, automotif, tenaga boleh baharu, farmaseutikal, ekonomi digital, gaya hidup dan industri halal.

“Ini adalah sektor yang disasarkan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Pelaburan Hijau,” kata MITI.

MITI berkata, syarikat terbabit turut berkongsi hasrat untuk terus melabur di Malaysia, didorong oleh faktor utama seperti ekosistem pelaburan yang kondusif, stabil dan dinamik; permintaan global yang menggalakkan terhadap produk buatan Malaysia; rantaian bekalan domestik yang cekap; tenaga kerja berkemahiran tinggi; serta dasar kerajaan yang mesra pelabur.

Delegasi misi itu turut disertai Menteri MITI, Tengku Zafrul Abdul Aziz dan wakil Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Tengku Zafrul berkata, kejayaan keseluruhan misi itu mencerminkan keyakinan berterusan syarikat asing terhadap dasar mesra pelabur, ekosistem rantaian bekalan, daya saing dan potensi pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Potensi pelaburan dan perdagangan yang bakal direalisasikan itu juga akan menyediakan peluang perniagaan kepada syarikat tempatan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana, serta lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat Malaysia.

“Semua ini kunci dalam memacu agenda transformasi ekonomi MADANI kita,” katanya.

Anwar kini dalam rangka lawatan rasmi ke Itali, Perancis dan Brazil bermula Selasa lalu hingga 8 Julai ini.

Selain Tengku Zafrul, Anwar turut diiringi Menteri Luar, Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pertahanan,  Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

NNN

Related posts

Leave a Comment