WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, akan menjadi tuan rumah kepada Perdana Menteri , Benjamin Netanyahu, di Rumah Putih esok bagi mendesak pemimpin Israel itu menamatkan peperangan dengan Hamas di Gaza.
Trump berikrar akan bersikap tegas terhadap Netanyahu ketika beliau berusaha memanfaatkan momentum daripada gencatan senjata antara Iran dan Israel untuk memastikan rundingan gencatan senjata dapat dicapai di Gaza yang musnah teruk.
“Kita perlu selesaikannya. Kita perlu lakukan sesuatu mengenai Gaza,” kata Trump kelmarin.
Menurut Trump, Israel bersetuju menghentikan pertempuran selama 60 hari, manakala Hamas memberi maklum balas positif terhadap cadangan yang disokong AS namun memeterai perjanjian muktamad untuk menamatkan perang yang sudah berlarutan 21 bulan itu bukanlah sesuatu yang mudah.
Netanyahu yang melakukan lawatan ketiganya ke Rumah Putih sejak Trump kembali berkuasa Januari lalu, bertegas mahu menumpaskan Hamas sepenuhnya sebelum menamatkan konflik.
Bagaimanapun, Trump yang bertekad meraih Hadiah Nobel Keamanan dan kini menunggang gelombang kemenangan dasar luar dan domestik, dilihat terus menggerakkan usaha ke arah penyelesaian.
Trump berkata, kemungkinan akan ada perjanjian Gaza pada minggu hadapan dan optimis mengenai perjanjian berkenaan.
Sebagai mengulas laporan bahawa Hamas sudah memberi maklum balas positif terhadap cadangan rundingan gencatan senjata, Trump berkata perkara itu sesuatu yang positif meskipun beliau mengakui belum menerima taklimat penuh mengenainya.
Trump dan Netanyahu sehaluan ketika berdepan perang Iran-Israel baru-baru ini, yang memuncak dengan arahan Trump kepada pengebom AS untuk menyerang tiga lokasi penting nuklear Iran.
AS mendakwa tapak berkenaan sudah dimusnahkan sepenuhnya sekali gus memundurkan program nuklear Iran selama bertahun-tahun, meskipun Iran menafikan berdepan sebarang kemunduran besar.
Dalam pada itu, barat menuduh Iran cuba membangunkan bom nuklear, dakwaan yang disangkal Iran.
Namun, berhubung Gaza, Trump kini dilihat semakin gusar dengan kematian dan kemusnahan yang masih berlarutan ketika Israel meneruskan operasi ketenteraan susulan serangan besar-besaran Hamas pada 7 Oktober 2023.
Nnnn