Elon Musk tubuh parti baharu

WASHINGTON – Elon Musk, bekas penasihat rapat Presiden Donald Trump, mengumumkan penubuhan Parti Amerika semalam (Sabtu) untuk mencabar sistem satu parti di Amerika Syarikat (AS).

Penubuhan parti itu selepas Rang Undang-undang cukai dan perbelanjaan, ‘One Big Beautiful Bill’ yang ditentang Musk diluluskan Kongres sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-249 negara itu.

Musk, individu terkaya di dunia dan penyumbang dana politik terbesar Trump dalam pilihan raya tahun lalu bertikam lidah dengan Trump selepas mengetuai usaha Republikan untuk mengurangkan perbelanjaan dan memotong jumlah kakitangan kerajaan ketika mengetuai Jabatan Kecekapan Kerajaan.

“Apabila berkaitan muflis negara dengan pembaziran dan rasuah, kita hidup dalam sistem satu parti, bukan demokrasi. Hari ini, Parti Amerika ditubuhkan untuk memberikan kembali kebebasan kamu,” kata Musk menerusi ciapan di X.

Pemilik Space X dan Tesla itu memetik tinjauan pendapat yang disiarkan di X pada Jumaat iaitu Hari Kemerdekaan AS di mana beliau bertanya sama ada responden mahukan kemerdekaan daripada sistem dua parti (ada yang mengatakan uniparti) yang menguasai politik AS selama kira-kira dua abad.

Tinjauan ya-atau-tidak itu memperoleh lebih daripada 1.2 juta jawapan.

“Dengan faktor 2 berbanding 1, kamu mahukan parti politik baharu dan anda akan memilikinya!” tulis Musk dalam hantaran di X.

Pertelingkahan Trump-Musk tercetus semula secara dramatik lewat bulan lalu. Musk menyatakan tentangan hebat terhadap rang undang-undang ‘One Big Beautiful Bill’ .

Musk kemudian berikrar untuk menubuhkan parti politik baharu untuk mencabar penggubal undang-undang yang berkempen untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan hanya untuk mengundi rang undang-undang itu, yang menurut pakar akan menambah AS$3.4 trilion (RM14.4 trilion) dalam tempoh sedekad kepada defisit AS.

Selepas rang undang-undang perbelanjaan utama itu diluluskan Kongres, Trump mengancam untuk mengusir dan memotong dana kerajaan disalurkan kepada Musk.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment