Isteri Taib Mahmud lapor polis

KUALA LUMPUR 18 Feb. – Raghad Kurdi Taib mempertimbangkan untuk mendakwa Hospital Normah, di mana Abdul Taib Mahmud dirawat di Kuching, “jika perlu” susulan laporan yang mendakwanya melarikan suaminya dari hospital berkenaan.

Beliau juga menjelaskan telah membuat laporan polis berhubung dakwaan bahawa beliau telah mengeluarkan suaminya, bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak itu dari hospital tanpa kebenaran doktor.

Dalam satu kenyataan hari ini, Raghad bagaimanapun tidak mendedahkan bila dan di mana beliau membuat laporan polis.

“Saya telah membuat laporan polis untuk menolak dakwaan yang tidak berasas ini dan melindungi privasi Tun Taib dan haknya untuk memilih penjagaan perubatan.

Kami benar-benar bersedia untuk bekerjasama dengan polis dalam apa juga siasatan dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Hospital Normah jika perlu,” katanya.

Dalam hantaran yang sama, Raghad menegaskan bahawa beliau tidak membawa lari suaminya dari hospital tanpa kebenaran doktor pada 3 Februari lalu sebaliknya

dibawa balik ke kediamannya di Demak Jaya, Petra Jaya, Kuching.

Raghad berkata bahawa beliau telah memberitahu doktor yang bertanggungjawab di hospital swasta itu,  tentang janji temu suaminya di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

Doktor berkenaan bersetuju membenarkan pelepasan dan menganggap Taib boleh membuat perjalanan jauh bagi mendapatkan rawatan di Hospital CVS Kuala Lumpur (CVSKL)

“Keputusan untuk membawa pulang Tun Taib adalah berdasarkan persetujuan yang dimaklumkan dan haknya untuk memilih penjagaan terbaiknya.

“Semua dokumen pelepasan yang diperlukan mengikut prosedur hospital telah ditandatangani dan semua kakitangan hospital yang berkaitan sedar tentang pelepasan,” katanya.

Menurut Raghad, dalam keselesaan di rumah sendiri, Taib mendapatkan sokongan penjagaan perubatan 24 jam termasuk jururawat dan lawatan doktor berjadual, peralatan yang diperlukan serta ubat untuk penjagaan dan pemulihan.

Beliau juga mengulangi bahawa dakwaan yang mendakwa beliau mencabut ubat suaminya tanpa kebenaran kakitangan bertugas adalah “tidak benar”.

“Permintaan bantuan untuk mengeluarkan peranti perubatan diabaikan oleh kakitangan hospital walaupun berkali-kali panggilan dibuat,” katanya.

Dakwaan palsu seperti itu, katanya, telah menyebabkan tekanan dan kekeliruan yang tidak perlu tentang situasi beliau dan suaminya sehingga memaksa beliau membuat laporan polis.

Raghad juga menggesa orang ramai untuk mengabaikan laporan mengelirukan dan menghormati hak Taib terhadap privasi dan mendapatkan rawatan perubatan yang terbaik.

“Keluarga saya akan kekal tabah dan bersatu dalam masa-masa sukar ini. Kami memohon doa orang ramai untuk kesihatan dan kesejahteraan suami saya, Tun Taib,” katanya.

Selepas dibawa keluar hospital swasta pada 3 Februari lalu, seorang doktor hospital membuat laporan polis pada 4 Februari yang mendakwa Taib dilarikan.

Pada 10 Februari, Taib diterbangkan ke Kuala Lumpur dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan beliau menerima rawatan di sebuah hospital di ibu negara.

Related posts

Leave a Comment