Jawablah kepada UMNO Sembrong

SEPANG 1 Julai – Bekas Naib Presiden UMNO, Hishammuddin Hussein berkata, kepemimpinan parti perlu memberi jawapan dan penjelasan kepada UMNO Sembrong bukan kepada beliau berhubung usul penggantungannya ditarik balik.

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, beliau tidak pernah mengemukakan rayuan terhadap penggantungannya selama enam tahun sejak Januari 2023 kerana mendakwa tidak diadili sebaiknya dan enggan menggadaikan prinsipnya..

“Usul supaya penggantungan saya ditarik balik bukan daripada saya, ia daripada UMNO Sembrong, maka menjadi tanggungjawab kepemimpinan parti untuk memberi jawapan dan penjelasan kepada mereka, bukan kepada saya,” katanya.

Beliau menjelaskan demikian melalui Facebooknya berhubung penggantungannya serta keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang boleh mempertimbang sebarang rayuan dikemukakan mana-mana ahli yang dikenakan tindakan disiplin.

Hishammuddin berkata, MKT UMNO sudah pun membuat keputusan dan beliau akan meneruskan langkah ke hadapan dengan bermaruah serta berprinsip.

“Keputusan ini mencerminkan siapa mereka, bukan siapa kita.Rayuan bukan penentu kesetiaan saya. Prinsip dalam parti yang menentukan kesetiaan kita sebagai orang parti,” katanya.

Bekas Ketua UMNO bahagian itu berkata, rayuan bukan penentu kesetiaannya kepada UMNO.

“Ada yang kata saya terhegeh-hegeh dan bodoh sombong. Penting untuk saya nyatakan di sini bahawa ini bukan soal keahlian, kedudukan dan jawatan. Ini soal prinsip, integriti, keikhlasan dan keadilan yang selama ini saya pegang dalam UMNO.

Ya, merayu dengan menulis surat memang ramai yang ingat senang tapi bagi perjuangan saya selama ini, ia bukan sekadar untuk menjadi ahli kembali.

“Ini mengenai memegang kepada nilai dan prinsip, bukan saya saja tapi juga pemimpin UMNO yang dahulu daripada kita. Ini yang sukar untuk saya kompromi,” katanya.

Sebelum ini, UMNO Bahagian Sembrong mencadangkan supaya penggantungan keahlian Hishammuddin ditarik balik, selaras dengan matlamat memperkukuh parti di semua peringkat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Susulan itu, beberapa pimpinan UMNO memberikan reaksi, termasuk Presiden, Dr Ahmad Zahid Zahidi yang menyerahkan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk membuat keputusan berhubung usul itu.

Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan, menasihatkan Hishammuddin supaya menulis surat rayuan, seperti yang dilakukan bekas Ahli Parlimen Pasir Salak,  Tajuddin Abdul Rahman, sebelum MKT bersetuju menarik semula penggantungannya.

Hishammuddin berkata, selepas tahu mengenai penggantungannya melalui media pada malam 27 Januari 2023 dan menerima surat rasmi mengenai alasan penggantungan iaitu kerana melanggar Perlembagaan UMNO, beliau tidak diberikan sebarang penjelasan atau perincian lanjut mengenai kesalahan spesifik yang didakwa dilakukan dan tidak dipanggil membela diri atau dibicarakan di hadapan Jawatankuasa Disiplin.

“Semasa saya digantung tidak ikut prosedur, bila ada permintaan untuk saya diterima semula, kena ikut prosedur pula.” katanya.

Hishammuddin berkata, walaupun beliau digantung daripada UMNO, ia tidak sedikit pun menjejaskan kedudukannya di Sembrong, malah beliau terus diberikan layanan yang baik oleh rakyat kawasan itu, termasuk oleh akar umbi UMNO.

“Alhamdulillah, Sembrong kekal harmoni dan kesetiaan saya terhadap perjuangan UMNO tidak pernah berubah, yang berbeza hanyalah proses dan prinsip dilaksanakan terhadap individu tertentu,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment