Enam bulan lanjutan bukan isu – Maimun

PUTRAJAYA 1 Julai- Tiada penyesalan dan tidak menjadi isu apabila perkhidmatannya sebagai Ketua Hakim Negara tidak dilanjutkan selama enam bulan lagi, demikian tegas Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Wanita pertama yang dilantik sebagai Ketua Hakim Negara itu berkata, enam bulan tidak dismbung tidak begitu signifikan jika dibandingkan dengan enam tahun perkhidmatannya bagi kawatan itu.

“Jadi hakikat bahawa saya tidak disambung selama enam bulan lagi, itu bukan isu. Langsung tiada isu. Enam bulan tidak begitu signifikan jika dibandingkan dengan enam tahun,” katanya.

Tengku Maimun berkata demikian ketika ditemui pada hari terakhirnya sebelum bersara wajib hari ini di Istana Kehakiman di sini yang turut disertai pegawai mahkamah dan media.

Mengikut Perkara 125(1) Perlembagaan Persekutuan, tertakluk kepada peruntukan Fasal (2) hingga (5), seseorang hakim Mahkamah Persekutuan hendaklah memegang jawatan hingga mencapai usia 66 tahun dan boleh dilanjutkan enam bulan lagi atas perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Ditanya sama ada p beliau berasa sedih kerana perkhidmatan sebagai Ketua Hakim Negara ke-16 tidak disambung, Tengku Maimun yang dilantik pada 2 Mei 2019 mengakui tiada langsung penyesalan.

“Tidak, tidak sama sekali. Sebab anda tahu, menjadi Ketua Hakim Negara sebenarnya bukan impian saya.

“Jadi bila sesuatu itu bukan impian anda, tetapi anda berada di kedudukan itu selama enam tahun, dan saya sudah pun melengkapkan tempoh berkenaan, sama ada saya mencapai sesuatu yang besar atau tidak, seperti yang saya katakan, itu bukan untuk saya tentukan,” katanya.

Tengku Maimun yang juga lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) daripada Universiti Malaya pada 1982, berkata ia adalah satu keistimewaan dan penghormatan yang besar untuk berkhidmat dalam Badan Kehakiman.

Beliau melahirkan kesyukuran kerana Allah mempermudahkan segala urusannya kerana sepanjang tahun perkhidmatan segala-galanya agak mudah.

“Saya percaya ini semua adalah kerana rahmat dan keberkatan daripada Allah.

Tetapi apa yang boleh saya katakan, saya berkhidmat tepat selama enam tahun dari 2 Mei 2019 hingga 1 Julai 2025, satu hari kurang dari enam tahun. Dalam keadaan sihat, dan saya rasa itu sendiri adalah satu nikmat.

“Jadi harapan dan doa saya adalah supaya legasi (mengembalikan keyakinan awam terhadap institusi kehakiman) akan diteruskan oleh sesiapa sahaja yang menggantikan saya, dan juga secara amnya oleh semua hakim yang masih berkhidmat,” katanya.

Terdahulu, Tengku Maimun menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak pada hari terakhir beliau berkhidmat sebagai hakim tertinggi negara di Mahkamah Persekutuan hari ini.

Tengku Maimun menyampaikan ucapan terima kasih itu bagi mewakili dirinya dan seorang lagi hakim Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang turut bersara wajib Khamis ini.

“Segala sokongan yang diberikan oleh anda semua semasa kami menghadapi cabaran, apabila institusi kehakiman diserang. Kami boleh katakan kami dipertahankan oleh Badan Peguam serta beberapa pihak dan individu lain,” katanya.

Tengku Maimun memulakan kerjaya dalam bidang perundangan pada 1982 dengan bertugas sebagai Pegawai Undang-Undang di Lembaga Kemajuan Kelantan (KESEDAR) dan kemudian pada 1984 sebagai Pegawai Undang-Undang di Majlis Perbandaran Seremban, Negeri Sembilan.

Tengku Maimun mula memasuki Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada 1986 sebagai Penolong Penggubal Undang-Undang, Bahagian Gubalan di Jabatan Peguam Negara.

Tugas terakhirnya sebelum bersara wajib adalah dengan mempengerusikan dua prosiding antaranya rayuan akhir enam lelaki yang membunuh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais.

Nnn

Related posts

Leave a Comment