Tutup pintu rundingan agih kerusi DUN Melaka

JASIN 29 Jun – UMNO Bahagian Jasin meluluskan usul menutup pintu rundingan dengan mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan bagi membincangkan pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan berlangsung tahun depan.

Ketua Penerangannya, Zulkifli Kalil, ketika membacakan usul itu berkata mesyuarat perwakilan turut memutuskan supaya semua kerusi dimenangi Barisan Nasional (BN) akan kekal ditandingi pada PRN berkenaan nanti.

Beliau berkata, usul terbabit adalah penting kerana ia menjadi penanda aras kepada UMNO dan BN Melaka yang memenangi PRN lalu dengan majoriti tiga perempat membabitkan 21 daripada 28 kerusi DUN, sekali gus menjadi parti dominan di negeri ini.

“Kepimpinan Pakatan Harapan (PH) di Melaka harus faham bahawa UMNO dan BN negeri mengambil semangat Kerajaan Perpaduan pada peringkat pusat.

Oleh itu, ‘rumah baharu’ yang kita bina bersama ini sedang utuh dan jangan dirobek-robek atau jangan diguris hati orang Melayu yang sangat setia berjuang bersama demi agama, bangsa serta tanah air,” katanya.

Beliau menegaskan, 21 kerusi dikuasai BN wajib dipertahankan dengan mengambil semangat dan memegang janji Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri,  Ab Rauf Yusoh, serta Ketua UMNO Bahagian Jasin,  Dr Muhamad Akmal Salleh

“Sebarang perbincangan berkaitan pembahagian kerusi terbabit tidak akan dilayan. Ini adalah muktamad,” katanya.

Usul berkenaan mendapat sokongan 630 perwakilan yang hadir pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jasin di Dewan Alamanda, di sini, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka, dengan turut dihadiri Dr Muhamad Akmal yang juga Ketua Pemuda UMNO.

Media sebelum ini melaporkan polemik isu perkongsian kerusi antara BN dengan PH di Melaka yang dicetuskan DAP negeri selepas parti itu meluluskan resolusi strategi 14 BN + 14 PH pada PRN Melaka akan datang.

Susulan itu, Dr Muhamad Akmal dipetik mengingatkan PH Melaka supaya tidak terlalu berharap untuk bertanding di kerusi DUN dimenangi BN pada PRN lalu, kerana BN yang mendominasi kerusi DUN di Melaka ketika ini tidak akan melepaskan kerusi terbabit kepada PH.

Terdahulu pada 10 Mei lalu, Setiausaha Agung UMNO  Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata, UMNO kekal dengan prinsip asas disepakati BN dengan PH supaya mempertahankan kerusi masing-masing yang dimenangi pada PRN Melaka lalu.

“Prinsip asas disepakati pimpinan BN dan PH ialah kerusi dimenangi kekal dengan parti masing-masing.

“Di Melaka, BN kekal 21 kerusi dan PH kekal lima kerusi, manakala dua kerusi Perikatan Nasional (PN) akan dirundingi (bersama),” katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, tempoh penggal DUN Melaka dijadualkan berakhir pada November tahun depan.

Related posts

Leave a Comment