KUALA LUMPUR 29 Jun – Kehadiran lebih tiga dekad UMNO di Sabah membuktikan parti itu bukan lagi boleh dilabel sebagai ‘parti luar’ atau ‘parti Malaya’, sebaliknya sudah menjadi sebahagian daripada landskap politik Negeri Di Bawah Bayu itu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Ahmad Maslan berkata, dakwaan bahawa Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) hanyalah ‘gabungan parti Malaya’, adalah tidak tepat.
“Ada yang kata PH dan BN hanyalah parti Malaya, namun sebenarnya dalam BN ada Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang merupakan parti tempatan, manakala PH pula turut dianggotai Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), juga parti lokal.
Jadi kalau nak sebut BN-PH adalah parti Malaya semata-mata, itu tidak betul kerana kedua-dua gabungan ini jelas mempunyai komponen parti tempatan,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Selayang 2025 di Kuang, Sungai Buloh, hari ini.
Ahmad yang juga Ketua Sekretariat War Room Malaysia berkata, bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, beliau dipertanggungjawab menggerakkan ‘war room’ di negeri itu bersama Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin, bagi memastikan jentera pilihan raya lebih tersusun dan berkesan.
Beliau berkata, ‘war room’ bukan hanya berfungsi mengumpul data semata-mata, sebaliknya merangkumi pembabitan semua sayap dan jentera parti termasuk Wanita, Pemuda, Puteri serta pasukan penerangan bagi memperkukuhkan gerak kerja pada peringkat akar umbi.
“Saya yakin dengan pendekatan ini, UMNO yang sebelum ini memenangi 14 kerusi, boleh menambah kemenangan kerusi dan meraih kejayaan pada PRN akan datang,” katanya.
Baru-baru ini, Parti Bersatu Sabah (PBS) menolak kerjasama politik dengan BN pada PRN Sabah ke-17 akan datang.
Pemangku Presiden PBS, Dr Joachim Gunsalam, berkata pendirian itu dibuat selepas majoriti Ahli Majlis Tertinggi (AMT) parti itu tidak bersetuju untuk bekerjasama dengan BN dalam pilihan raya negeri berkenaan.
PBS turut menegaskan pendirian untuk terus setia bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai gabungan pemerintah sedia ada pada PRN itu.
PBS turut mengulangi komitmen untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama dengan komponen GRS iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah) yang dipimpin Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.