PUTRAJAYA 27 Jun – Bagi mengurangkan beban rakyat serta melindungi perniagaan kecil daripada kesan peluasan cukai, kerajaan mengumumkan tiga pindaan terhadap pelaksanaan semakan semula Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST).
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan berkata, pindaan itu membabitkan pengecualian cukai jualan ke atas buah-buahan import terpilih, kenaikan ambang jualan tahunan bagi pendaftaran cukai perkhidmatan, serta pembatalan cadangan peluasan cukai perkhidmatan kepada sektor kecantikan.
Susulan itu, kurma dan limau mandarin dikecualikan daripada cukai jualan seperti epal dan oren yang diumumkan semalam.
“Selepas meneliti maklum balas yang diterima berkenaan cukai jualan ke atas buah import, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Kewangan, telah bersetuju untuk mengecualikan buah epal, oren, limau mandarin dan kurma daripada dikenakan cukai jualan.
“MOF ingin menggariskan bahawa kerajaan Madani tidak mengenakan cukai jualan ke atas barangan keperluan harian bagi meringankan tekanan kos sara hidup rakyat terbanyak.
“Barangan keperluan harian yang dikecualikan daripada cukai jualan ini sama ada dihasilkan dalam negara atau diimport termasuk beras, ayam, daging lembu, sayur-sayuran dan telur. Ikan tempatan seperti selar, tongkol, cencaru dan sardin, sama ada dalam bentuk sejuk beku, sejuk dingin atau segar, juga akan terus dikecualikan,” katanya.
Menurut MOF, bagi mengurangkan bilangan perniagaan kecil yang terkesan akibat peluasan skop cukai perkhidmatan, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan juga telah memutuskan untuk menaikkan had nilai ambang pendaftaran bagi perkhidmatan pajakan atau sewaan serta perkhidmatan kewangan, daripada RM500,000 kepada RM1 juta.
“Selain itu, ambang jualan tahunan bagi perniagaan yang tertakluk kepada cukai perkhidmatan untuk perkhidmatan sewaan atau pajakan turut dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta.
“Ini bermakna hanya perniagaan yang mencatatkan jualan tahunan melebihi RM1 juta akan dikenakan cukai perkhidmatan atas perkhidmatan sewaan atau pajakan untuk membolehkan lebih banyak perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menikmati manfaat pengecualian cukai.
“Selain itu, selepas meneliti sentimen awam, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan turut memutuskan untuk tidak meneruskan peluasan skop cukai perkhidmatan kepada perkhidmatan kecantikan seperti rawatan kuku (manicure dan pedicure), rawatan wajah (facial), serta khidmat gunting rambut dan pendandan rambut,” kata kenyataan itu.
Langkah itu diambil hasil maklum balas rakyat dan pemain industri selepas pengumuman asal SST yang dibuat pada 9 Jun lalu.
“Satu sesi libat urus turut diadakan bersama beberapa Ahli Parlimen penyokong kerajaan bagi memahami sentimen akar umbi.
“Kerajaan MADANI kekal komited memastikan pelaksanaan SST ini bersifat progresif, seimbang dan mengambil kira kebajikan rakyat serta keupayaan perniagaan kecil,” kata kenyataan itu.
MOF turut menasihatkan semua pihak agar merujuk kepada maklumat rasmi berhubung pelaksanaan SST dan tidak membuat spekulasi tidak berasas yang boleh mengelirukan masyarakat.
