KUALA LUMPUR 27 Jun – Masyarakat Islam yang menyambut awal Muharam 1447 hari ini digesa berubah cara pemikiran sebelum membuat keputusan memilih pakej umrah atau haji susulan isu penipuan bagi menunaikan ibadah itu.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia Teavel & Tours, Ida Riswana Idris ketika membuat gesaan itu merayu masyarakat untuk menyelidik terlebih dahulu, syarikat yang dipilih untuk berurusniaga.
“Tolonglah hentikan kepercayaan bulat-bulat kepada iklan di media sosial, saudara mara, sahabat handai atau kumpulan usrah tok imam 100 peratus. Let’s do a bit of homework & research sebelum kita yakin dengan syarikat yang kita pilih,” katanya.
Katanya, antara yang perlu disemak sama ada syarikat berlesen dengan Kementerian Pelancongan (motac.gov.my), kredibiliti pengurusan yang dipercayai atau tidak, pernah terbaca di media sosial atau tidak.
“Ambil tahu pengurusan syarikat di Makkah dan Madinah, sama ada syarikat ada stok tiket penerbangan, hotel penginapan yang mencukupi di Makkah dan Madinah dan paling penting, jenguk sendiri pejabat syarikat dan dapatkan kepastian sama ada operasi mereka sahih atau tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani memorandum perjanjian bersama Amal by Malaysia Airlines bagi musim umrah 1447/2025-2026 di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Amal by Malaysia Airlines Muhammad Najmi Mansor, Ketua Komersil Amal Roslan Ismail, Ketua Digital & Pemasaran Amal, Zuraidah Mat Dol, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel Md Daud Che Ngah, Pengarah Urusan Andalusia Ibrahim Mat Sin dan Presiden Bumitra Dr Wan Muhamad Adam Wan Norudin.
Ida Riswana berkata ini adalah kali ke tujuh, Andalusia menandatangani kerjasama dengan Amal walaupun secara tidak rasmi sudah 12 tahun bekerjasama dengan syarikat penerbangan itu.
Katanya, memorandum kali ini menyaksikan Andalusia memeterai kontrak bernilai lebih kurang RM75 juta bagi pembelian minima 21,000 tempat duduk penerbangan umrah.
Menurut Ida Riswana tidak salah jika jemaah mahu melakukan umrah sendirian (DIY) tetapi silapnya apabila aktiviti DIY itu dijual kepada orang lain tanpa lesen MOTAC dan memburukkan keadaan apabila membuat kutipan bayaran dan lesap.
Justeru beliau mengingatkan, adalah mustahil untuk mendapatkan semula wang yang sudah lesap walaupun pelbagai ikhtiar dibuat dan scammer ditangkap.
Dalam hal ini, melalui kerjasama di antara Amal by Malaysia Airlines dan Andalusia, ia dapat menyedarkan masyarakat khususnya bakal jemaah umrah bahawa betapa pentingnya mereka untuk mencari syarikat pengendali umrah yang bersedia dari awal dengan tiket penerbangan dan hotel penginapan di Makkah dan Madinah.
“Dari sudut prinsip, kami tidak boleh menjual apa-apa `barangan’ selagi barangan itu tidak ada. Oleh itu, Andalusia akan terus melebarkan pemasaran ke seluruh Malaysia bagi menyedarkan orang ramai bahawa adalah penting untuk berurusan dengan syarikat yang menjamin pakej mempunyai seat yang sah.
Niat kami hanyalah satu – iaitu untuk sedaya upaya mengekalkan harga pakej umrah serendah mungkin supaya boleh membuka peluang lebih ramai lagi umat Islam berkunjung ke Baitullah,” katanya.
Beliau juga berharap Amal by Malaysia Airlines akan terus berusaha untuk mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan, kemudahan di dalam kapal dan kecekapan operasi agar penerbangan MH ini dapat mencapai piawai perkhidmatan seperti yang diharapkan oleh para jemaah.
Nnn