NEW ORLEANS – Sebuah kapal kargo merempuh kapal persiaran sungai yang membawa 129 penumpang di Sungai Mississippi, Amerika Syarikat (AS), mengakibatkan kapal itu tenggelam sebahagian dan terbalik.
Dilaporkan sebanyak 32 penumpang dikejarkan ke hospital dalam insiden yang berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari waktu tempatan apabila kapal Atlantic Asphalt melanggar kapal persiaran American Heritage yang sedang berlabuh di New Orleans.
Datuk Bandar New Orleans, Helena Moreno, berkata semua penumpang berjaya dikenal pasti dan tiada yang dilaporkan cedera parah.
Beliau berkata kapal persiaran itu sedang menurunkan penumpang apabila kapal kargo berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum merempuhnya.
“Ketika penumpang sedang turun, kapal itu mula dimasuki air sebelum senget dan akhirnya terbalik, menyebabkan beberapa individu terjatuh ke dalam sungai,” katanya.
Syarikat American Cruise Lines yang mengendalikan kapal persiaran itu memaklumkan semua penumpang dan kru telah dipindahkan dengan selamat.
Punca sebenar perlanggaran masih disiasat, manakala pihak berkuasa turut belum mengesahkan sama ada kapal kargo sepanjang 160 meter yang berdaftar di Kepulauan Marshall itu membawa muatan ketika kejadian berlaku.
Nnnn
