Lapor jika tidak terima gaji minimum

PUTRAJAYA 23 Jun  – Pekerja yang menerima bayaran gaji minimum di bawah RM1,700 disaran supaya segera membuat aduan di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bagi membolehkan tindakan diambil.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataannya memaklumkan semua pihak wajib mematuhi peraturan gaji minimum yang ditetapkan bagi melindungi kebajikan dan hak pekerja di Malaysia

Menurut kenyataan itu, KESUMA tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pelanggaran Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.

Di bawah Perintah Gaji Minimum (PGM) 2024 yang sedang berkuat kuasa, majikan wajib memastikan pekerja menerima gaji minimum sebanyak RM1,700 sebulan tanpa mengira sama ada melalui struktur gaji pokok atau jumlah pendapatan bulanan.

“Sekiranya majikan menetapkan gaji pokok dalam kontrak perkhidmatan, kadar gaji pokok yang ditetapkan mestilah tidak kurang daripada kadar gaji minimum semasa.

Sekiranya majikan tidak menetapkan gaji pokok dalam kontrak perkhidmatan, majikan haruslah memastikan kadar gaji bulanan yang perlu dibayar adalah tidak kurang daripada kadar gaji minimum semasa dan tidak termasuk bayaran elaun-elaun lain,” menurut kenyataan itu.

JTK akan mempertingkat pemantauan dan tindakan penguatkuasaan terhadap aduan atau kesalahan pemotongan gaji yang melanggar PGM yang juga terpakai kepada pekerja sambilan.

“Sekiranya aduan pekerja disahkan oleh mahkamah, majikan boleh diarah untuk membayar perbezaan gaji serta elaun yang terjejas selaras dengan Seksyen 44 Akta 732,” kata kenyataan itu.

Pada 21 Jun lalu, sebuah portal tempatan melaporkan bahawa pemandu bas ekspres dan persiaran hanya menerima gaji pokok serendah RM700 sebulan malah ada yang langsung tidak dibayar gaji asas.

Situasi itu dikatakan mengakibatkan mereka terpaksa bergantung kepada elaun perjalanan dan kerja lebih masa untuk menampung kehidupan hingga sanggup mengorbankan hari cuti serta bekerja hampir setiap hari.

Nnn

Related posts

Leave a Comment