Kecuaian punca ‘kesilapan tidak disengajakan’

MASIH berlegar rasa tidak puas hati dalam kalangan pimpinan kerajaan berhubung kesilapan infografik berkaitan profil Ketua Polis Negara (KPN) baharu, Mohd Khalid Ismail. Kebetulan dikaitkan pula dengan PKR, parti pemerintah.

Selain pihak polis termaauj Mohd Khalid, tiga pemimpin PKR juga membangkitkan hal ini iaitu Setiausaha Agung, Fuziah Salleh, Ketua Penerangan Fahmi Fadzil dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Hakikatnya, isu ini menjadi tumpuan dan perhatian pelbagai pihak kerana profil yang diterbitkan Sinar Harian itu melibatkan pegawai tertinggi dalam agensi penguatkuasaan terbesar negara, iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Lainlah jika ia melibatkan syarikat berkaitan kerajaan, yang jawatannya diagih-agihkan dalam kalangan parti politik contohnya FAMA, MARDI, LKIM, NAFAS, KADA, MADA, MARA, RISDA, FELDA, FELCRA dan yang seumpama dengannya.

Kembali kepada kesilapan infografik Sinar Harian. Sebagai mantan editor yang terlibat secara langsung terhadap penerbitan akhbar, tanggapan awal saya apabila melihat kesilapan itu puncanya adalah ‘kecuaian yang tidak disengajakan’.

Sama seperti ‘kesilapan’ akhbar Sin Chew Daily yang menyiarkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit bersebelahan bendera negara China yang berkibar di atas sebuah kapal April lalu yang disifatkan ‘pengkhianatan’ kepada negara.

Sama ada disengajakan atau tidak, kesilapan dalam laporan media cetak atau elektronik boleh berlaku sama ada disedari atau tidak, dihebohkan atau didiamkan malahan ada juga yang dibawa sehingga ke mahkamah.

Ada juga kesilapan yang dilaporkan selesai dengan permohonan maaf secara terbuka atau RALAT melalui akhbar berkenaan.

Hakikatnya, dalam penerbitan bahan media ini, kesilapan perlu dielakkan dengan setiap peringkat petugas lebih berhati-hati, bermula wartawan disusuli peringkat berikutnya, contoh pengarang berita, penyunting sehingga editor atau pengarang.

Apabila berlaku ‘kecuaian’ di peringkat terakhir disebabkan yakin dengan keupayaan kakitangan lain, mereka yang meluluskan penerbitan, contohnya pengarang tanpa sedar telah melepaskan kesilapan tanpa disedari atau tidak disengajakan.

Dalam kes bendera, saya awal-awal lagi membuat kesimpulan, berlaku kecuaian. Berdasarkan pengalaman lalu, tidak dinafikan ada petugas yang ambil mudah semasa menghasilkan bahan. Mereka sama ada sambil lewa atau bergurau.

Ada yang sengaja mengadakan sesuatu sekadar gurauan, menokok tambah apa yang tiada untuk memberi kelainan tetapi kesudahannya pada peringkat akhir sesuatu dalam bentuk gurauan itu tidak dinyahkan sehingga bahan itu diterbitkan.

Begitu juga dengan AI yang menjadi pemudah tetapi melekakan petugas sehingga ketepatan dan kebenaran tidak disemak semula sebelum diluluskan untuk siaran.

Dalam kes infografik KPN pula, melihat fakta profil di bawah tajuk kecil Anugerah, sudah jelas ia berlaku disebabkan sikap ambil mudah untuk menyiapkan kerja dengan cepat serta kecuaian ketika menghasilkan infografik itu.

Jika pihak terakhir yang meluluskan bahan berkenaan tidak betul-betul teliti, tidak membaca apa yang dihasilkan, potensi melakukan kesalahan tidak dapat dielakkan.

Mana mungkin di bawah Anugerah tertulis Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kedah dan AJK Umno Sungai Petani, Kedah. Menjadi ahli pertubuhan atau parti bukanlah satu Anugerah.

Jelaslah, PROFIL itu diambil daripada template reka bentuk lama yang tidak dinafikan memudahkan kerja petugas tetapi berisiko besar untuk berlaku kesilapan.

Sinar Harian mengakui kesilapan tersebut berpunca daripada tindakan seorang staf di Unit Media Sosial yang telah menggunakan template reka bentuk lama yang pernah digunakan dalam poster melibatkan Johari Abdul (PKR Kedah) sebelum ini.

Fakta asal di ruang Anugerah tidak dipadam. Persoalannya sama ada fakta baharu mengenai KPN dibekalkan. Jika ada kenapa tidak diisi dengan yang baharu? Di sini tidak ada semakan sehingga fakta lama berkaitan Johari dikekalkan.

Itulah punca kesilapan. Rasanya tidak ada apa yang cuba disembunyikan akhbar itu. Tetapi untuk kepuasan semua pihak terutama PDRM, lakukanlah siasatan.

Apa pun Sinar Harian masih bernasib baik kerana ia tersiar di media sosial bukannya edisi cerak @ surat khabar. Infografik yang silap di media sosial boleh dinyahkan serta merta selepas disedari walaupun ada yang sempat membuat salinan.

Malahan, berdasarkan pengalaman lalu, kesilapan yang berisiko besar jika disedari semasa proses cetak, operasi mesin cetak akan dihentikan. Akhbar yang siap cetak sama ada dilupuskan atau tidak diedarkan. Pembetulan perlu dilakukan segera.

Justeru, dalam proses penerbitan bahan ini, ketelitian semua peringkat bermula daripada wartawan yang menyediakan laporan sehingga pengendali mesin cetak amat penting. Menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan prosedur (SOP) diikuti. Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga!

Nnnn

Related posts

Leave a Comment