Trump serang Iran tanpa restu Kongres?

WASHINGTON – Tindakan Presiden Amerika Syarikat ( AS) Donald Trump melancarkan serangan udara ke atas Iran mencetuskan perdebatan hangat mengenai kuasa perlembagaan dan pembabitan ketenteraan AS di luar negara.

Seorang ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) mendakwa Trump telah melancarkan serangan udara itu tanpa kebenaran rasmi daripada Kongres.

Kenyataan itu dibuat selepas Trump mengumumkan bahawa pesawat pengebom B-2 telah menggugurkan “muatan penuh bom” ke atas tiga tapak nuklear utama Iran – Fordo, Natanz dan Esfahan – dalam apa yang digambarkan sebagai operasi pencegahan terhadap ancaman nuklear Iran.

Ahli Kongres Thomas Massie dari Kentucky dan Senator Tim Kaine dari Virginia telah memperkenalkan rang undang-undang di Dewan Perwakilan dan Senat yang menuntut agar sebarang tindakan ketenteraan terhadap Iran memerlukan kelulusan Kongres terlebih dahulu.

Mereka menegaskan bahawa Perlembagaan AS memberikan kuasa eksklusif kepada Kongres untuk mengisytiharkan perang, dan tindakan unilateral presiden melanggar prinsip terbabit.

Menurut Kaine, ini bukan soal politik, tetapi soal Perlembagaan dan keselamatan negara, dan AS tidak boleh terjerumus ke dalam perang tanpa perbahasan dan kelulusan rakyat melalui wakil mereka.

Bagaimanapun beberapa pakar undang-undang berhujah bahawa Presiden mempunyai kuasa untuk bertindak pantas dalam mempertahankan negara, namun menekankan pentingnya mendapatkan sokongan politik bagi mengelakkan krisis Perlembagaan.

Ketegangan antara cabang eksekutif dan legislatif ini berlaku ketika konflik antara Israel dan Iran terus memuncak, dengan AS kini dilihat semakin terbabit secara langsung dalam operasi ketenteraan di Asia Barat.

Related posts

Leave a Comment