Tindakan AS berisiko cetus kesan buruk

NEW YORK – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, memberi amaran konflik yang berisiko menjadi tidak terkawal, dengan kesan buruk yang besar terhadap orang awam dan rantau Asia Barat susulan tindakan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran.

Guterres yang melahirkan kebimbangan mendalam terhadap tindakan AS itu menyeru semua negara agar menurunkan ketegangan dan menyelesaikan konflik melalui diplomasi, bukan kekerasan.

“Saya menyeru semua negara anggota untuk menurunkan ketegangan dan mematuhi tanggungjawab mereka di bawah Piagam PBB serta undang-undang antarabangsa,” katanya yang menyifatkan konflik itu sebagai satu eskalasi berbahaya yang boleh mencetuskan krisis global.

Dalam kenyataan di media sosial, Guterres memberi amaran bahawa serangan itu bukan sahaja meningkatkan ketegangan di rantau Asia Barat yang sedia bergolak, malah adalah ancaman langsung terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa.

“Saya amat bimbang dengan penggunaan kekerasan oleh AS terhadap Iran hari ini.

Ini adalah satu peningkatan bahaya di rantau yang sudah pun berada di ambang konflik dan satu ancaman langsung kepada keamanan serta keselamatan global,” katanya.

Guterres turut mengingatkan bahawa risiko konflik itu menjadi tidak terkawal semakin meningkat, dengan kemungkinan kesan buruk yang semakin mendalam terhadap orang awam, rantau dan dunia secara keseluruhan.

“Dalam saat genting ini, kita mesti mengelakkan putaran kekacauan. Tiada penyelesaian ketenteraan. Satu-satunya jalan ke hadapan adalah melalui diplomasi. Satu-satunya harapan adalah keamanan,” katanya.

Kenyataan itu susulan Presiden Donald Trump mengesahkan AS melancarkan serangan ke atas tiga tapak nuklear utama Iran di Fordow, Isfahan dan Natanz.

Nnn

Related posts

Leave a Comment