Nik Nazmi kekal pendirian tinggalkan Kabinet

PUTRAJAYA 17 Jun – Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad kekal dengan pendiriannya meletak jawatan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam walaupun ada pilihan untuk kekal dalam Kabinet.

Bekas Naib Presiden PKR itu berkata, keputusan itu dibuat bersandarkan perkiraan lebih besar iaitu mandat parti, susulan kegagalannya mempertahankan jawatan pada pemilihan parti bulan lalu.

Katanya, bukan mudah meninggalkan kementerian diterajuinya lebih dua tahun itu yang agensi serta kakitangannya dianggap ‘pasukan impian’.

“Tetapi keputusan saya buat ini adalah untuk perkiraan yang lebih besar. Mandat parti adalah penting untuk reformasi luas. Memang saya ada pilihan untuk kekal, tapi pilihan saya adalah untuk letak jawatan,” katanya di Facebook.

Menerusi hantaran itu Nik Nazmi berkata, beliau memberi reaksi itu kepada Pengerusi Malaysia Green Technology and Climate Change Centre Shareen Abdul Ghani minggu lalu yang bertanya sama ada peluang untuk mereka meyakinkannya mengubah keputusan meletak jawatan.

“Selepas kami duduk di sofa Pejabat Menteri, beliau bertanya: “Ada peluang lagi kami yakinkan YB untuk ubah fikiran?”

Saya cuma tersenyum dan memandang ke sekeliling pejabat. Shareen mengikut pandangan mata saya – melihat rak-rak kosong yang sebelum ini sarat dengan buku, dinding-dinding kosong yang pernah digantung pelbagai gambar, lukisan (dan jersi).

Beliau faham dengan keputusan saya. Saya pesan kepadanya untuk menjaga MGTC baik-baik,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau memberi ruang kepada Nik Nazmi untuk memikirkan semula perkara itu kerana dia masih dalam tempoh bercuti.

“Saya selalu tunggu, bagi peluang, (minta Nik Nazmi) berfikir, renung (kembali keputusannya) dan saya bagi pandangan saya, kalau boleh teruskan khidmat.

“Tapi ada masa lagi, dia masih dalam tempoh bercuti. Kita beri ruang, buat apa nak suruh terima (perletakan jawatan) kalau dia masih cuti, tarikhnya belum sampai,” katanya yang juga Presiden PKR.

Pada 28 Mei lalu, Nik Nazmi bersama Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menghantar surat peletakan jawatan susulan kekalahan mereka pada pemilihan PKR. Peletakan jawatan Rafizi berkuat kuasa hari ini, manakala Nik Nazmi pada 4 Julai.

Nik Nazmi berkata, beliau hadir ke MGTC beberapa bulan lalu untuk menjawab persoalan staf yang risaukan hala tuju agensi itu, secara berdepan.

“Berbincang dengan Shareen, Amin Ramli dan Datuk Dr Ching Thoo, Ketua Setiausaha NRES… kami rasakan penting untuk menjawab isu-isu ini secara jujur dan terbuka.

“Semoga MGTC terus menerajui implementasi agenda perubahan iklim ke arah matlamat Sifar Bersih 2050,” katanya.

Nik Nazmi turut mengimbau kata-kata Jurgen Klopp ketika mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengurus Liverpool bahawa beliau sangat menyayangi segala-gala mengenai kelab itu tetapi masih perlu mengambil keputusan itu.

“Itulah perasaan saya,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment