SEPANG 16 Jun – Seorang wakil rakyat pembangkang, Saifuddin Abdullah (PN Indera Mahkota) mendakwa rakyat di negara ini akan dibebani oleh “penyakit ekonomi tiga serangkai” bermula 1 Julai ini.
Katanya, ia tidak bermaksud penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi tetapi satu bentuk “penderitaan” yang tak kurang parahnya, iaitu kenaikan dan peluasan SST, penyasaran subsidi RON95 dan bil elektrik yang tinggi.
“Sakit’ dengan kenaikan dan peluasan SST, ‘kencing’ dengan penyasaran subsidi RON95, ‘tinggi’ bil elektrik yang bakal menghimpit isi rumah B40 dan M40. Inilah realiti yang sedang dan bakal ditanggung rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru beliau menggesa kerajaan tidak terus menambah derita rakyat dengan dasar mengelirukan dan tidak berpijak pada realiti.
“Inilah realiti yang sedang dan bakal ditanggung rakyat. Rakyat bukan makmal eksperimen ekonomi. Mereka adalah manusia yang punya keluarga untuk disara, kehidupan untuk dijaga,” katanya.
Saifuddin turut mempersoalkan kerajaan yang didakwa kurang memahami sistem percukaian apabila tersilap menjelaskan maksud cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada rakyat.
“Hakikatnya, GST bermaksud ‘goods and services tax’, yang merangkumi barangan dan perkhidmatan; bukan sekadar ‘general service’ seperti yang disebutkan.
SST pula tidak terhad kepada barangan import sahaja, sebaliknya turut dikenakan kepada barangan dan perkhidmatan tempatan tertentu,” kata Saifuddin
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan peluasan SST ke atas barangan import, menegaskan ia menyasarkan golongan berpendapatan tinggi.
Anwar turut menyentuh kekecohan apabila pisang import turut disenaraikan dalam barangan dikenakan SST dan menyeru rakyat membandingkan langkah itu dengan GST, yang dikenakan ke atas barangan asas dinikmati semua rakyat seperti gula dan tepung.
Nnnn
