TEHRAN – Perpaduan nasional mampu menggagalkan sebarang usaha untuk mencetuskan ketidakstabilan dalam negara khususnya daripada Amerika Syarikat (AS) kata Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.
Justeru beliau menyeru rakyat dan pemimpin Iran agar terus bersatu dalam menghadapi tekanan ekonomi yang semakin meningkat daripada AS.
Washington sebelum ini mengumumkan apa yang disifatkannya sebagai “Economic D-Day” terhadap Tehran, pakej sekatan paling ketat yang pernah dikenakan AS bagi memutuskan sumber ekonomi yang menyokong kerajaan Iran dan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).
Menurut Pezeshkian, sekatan tersebut tidak akan memaksa kerajaannya membuat perubahan dasar secara mendadak yang boleh mencetuskan ketegangan sosial.
“Melalui perang, sekatan dan kepungan ekonomi, musuh berusaha mewujudkan perpecahan dan kekacauan dalam negara,” katanya kepada pegawai kerajaan baru-baru ini.
Beliau mengakui Iran masih berdepan masalah ekonomi yang serius, termasuk kekurangan bekalan tenaga, penyeludupan bahan api, kerosakan infrastruktur minyak dan gas serta inflasi yang menjejaskan kehidupan rakyat.
Pezeshkian bagaimanapun memberi amaran bahawa kenaikan harga petrol secara menyeluruh boleh menambah beban rakyat dan meningkatkan tekanan kos sara hidup.
Mata wang Iran terus merosot apabila rial mencatat paras terendah baharu melebihi 2.25 juta rial bagi setiap dolar AS pada Sabtu.
Dalam pada itu, ketegangan antara Iran dan AS terus berlarutan apabila tentera AS dilaporkan menyerang sebuah kapal tangki minyak berhampiran Pulau Kharg pada Sabtu, beberapa hari selepas siri serangan terhadap sasaran di selatan Iran dan perairan Selat Hormuz.
Kerajaan Iran menyatakan ia bersedia kembali mematuhi komitmen yang dipersetujui dalam memorandum persefahaman dengan Washington yang ditandatangani pada Jun lalu, sekiranya AS turut berbuat demikian.
