3 santis sertai Mesyuarat Nobel Laureate Lindau

PUTRAJAYA 16 Jun –  Malaysia sekali lagi mencipta nama di pentas sains antarabangsa apabila tiga saintis muda tempatan terpilih menghadiri Mesyuarat Nobel Laureate Lindau ke-74 di Jerman, yang dijadual berlangsung mulai 29 Jun hingga 4 Julai ini.

Tiga individu itu adalah pelajar Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Sains Gunaan (Kimia Gunaan) dari Universiti Teknologi Petronas, Nur Diyan Mohd Ridzuan, 30; pensyarah kanan di Bahagian Teknologi Bioproses, Pusat Pengajian Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Ana Masara Ahmad Mokhtar, 34; dan pensyarah di Jabatan Kimia Farmaseutikal, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Dr Mak Kit Kay, 33.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataan hari ini, berkata, mesyuarat pada tahun ini akan memfokuskan kepada bidang kimia dan dijangka menghimpunkan kira-kira 35 Penerima Hadiah Nobel serta lebih 600 saintis muda dari 84 buah negara.

“Mesyuarat Nobel Laureate Lindau yang diasaskan pada 1951 bertujuan menggalakkan dialog merentas generasi, disiplin sains dan budaya. Setiap tahun, mesyuarat ini memberi tumpuan kepada satu bidang sains secara bergilir-gilir,” kata kenyataan itu.

MOSTI berkata, mesyuarat itu juga berperanan sebagai platform unik bagi saintis muda untuk berinteraksi dengan penerima Hadiah Nobel melalui aktiviti syarahan, perbincangan panel dan sesi santai.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang menyifatkan penyertaan itu bukti keupayaan bakat tempatan bersaing di pentas antarabangsa serta selaras komitmen MOSTI dalam membangunkan generasi saintis masa depan melalui pelaburan jangka panjang dalam pembangunan bakat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Kami percaya interaksi dengan pemikir dan penerima Hadiah Nobel akan memperluas horizon penyelidik muda negara dan memberi inspirasi kepada lebih ramai belia menyertai bidang sains, teknologi dan inovasi,” katanya.

Sementara itu, Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM),  Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim berkata, saintis muda negara turut berpeluang memperkenalkan hasil penyelidikan dan kepakaran mereka, sekali gus membuka peluang kerjasama dengan saintis di fasiliti bertaraf dunia.

Program selama seminggu itu memberi peluang kepada peserta berinteraksi dengan penerima Hadiah Novel dalam pelbagai persekitaran rasmi dan tidak rasmi.

Format program antaranya merangkumi syarahan oleh penerima Hadiah Nobel, yang membentangkan penyelidikan perintis mereka, sesi perbincangan interaktif Agora dan perbincangan panel yang menyentuh isu global.

Ia turut membuka ruang peserta menjalin jaringan penyelidikan dan membina hubungan kolaboratif bersama rakan serta mentor dari seluruh dunia.

Sejak 2004, ASM sebagai badan pencalon rasmi sudah mengenal pasti dan mencalonkan saintis berpotensi setiap tahun untuk dinilai panel semakan Saintifik Mesyuarat Nobel Laureate Lindau dan hingga kini, seramai 89 saintis Malaysia dipilih menyertai mesyuarat berkenaan.

Foto: Dari kiri Nur Diyan Mohd Ridzuan, Dr Ana Masara Ahmad Mokhtar, dan Dr Mak Kit Kay,

Related posts

Leave a Comment