JAKARTA – Agensi pemuliharaan Jawa Timur menutup sementara tapak pelancongan popular, Gunung Ijen di wilayah Jawa Timur selepas kebakaran hutan berlaku berhampiran kawasan itu.
Susulan itu, aktiviti pelancongan ke kawasan rizab alam semula jadi yang merangkumi daerah Banyuwangi dan Bondowoso itu digantung sehingga diberitahu kelak bagi memastikan keselamatan pengunjung.
Ijen adalah antara tarikan pelancongan utama Indonesia, terkenal dengan fenomena api biru yang jarang ditemukan serta tasik kawah berwarna firus.
Ketua Agensi Pengurusan Bencana Banyuwangi, Partana berkata, kebakaran merebak berhampiran Pondok Bunder, iaitu antara lokasi penting di sepanjang laluan menuju kawah, menyebabkan pihak berkuasa menutup laluan berkenaan.
Menurut Partana, anggota bomba, dengan sokongan trak bomba dan kira-kira 15 pam air yang mampu menyembur air sehingga jarak 15 meter dikerahkan berhampiran lokasi.
Pihak berkuasa turut mempertimbangkan operasi pemadaman dari udara kerana tebing dan gaung menyukarkan beberapa lokasi kebakaran untuk dicapai menggunakan kenderaan.
Nnn
