KUALA LUMPUR 14 Jun – Sebanyak RM30 juta diperuntukkan untuk organisasi media di negara ini melaksanakan transformasi digital dan penggunaan teknologi baharu dalam penghasilan bahan kandungan.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika mengumumkan demikian berkata, peruntukan itu sejajar dengan usaha memperkasa ekosistem dan kelangsungan media negara.
Berucap pada majlis kemuncak Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini, beliau berkata, sejak merdeka, inilah peruntukan terbesar yang kerajaan beri kepada wartawan.
“Dengan bantuan dana kerajaan, dengan latihan, pendedahan kepada wartawan terutama yang muda, kita pastikan dunia wartawan tidak ketinggalan dalam usaha mengejar perubahan kecerdasan buatan (AI) di saming menjamin keseimbangan AI dan etika,” katanya.
Beliau berkata, keputusan berkenaan diambil selepas beliau membincangkan perkara tersebut dengan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta menyedari bahawa tuntutan perubahan dalam dunia kewartawanan itu perlu dan beliau bertanggungjawab untuk memastikan mutu penghasilan wartawan lebih baik.
“Saya setuju untuk memperuntukkan satu dana yang relatif besar membantu organisasi media dalam negara… umumnya dengan apa juga cara, transformasi digital itu berlaku dengan bantuan kerajaan.
“Latihan dan pendedahan kepada wartawan khususnya yang muda supaya dunia kewartawanan tidak ketinggalan dalam usaha mengejar kecerdasan buatan (AI) di samping menjamin keseimbangan AI dengan etika,” katanya.
Anwar berkata, inisiatif itu akan disertai dengan latihan dan pendedahan khusus terutama kepada wartawan muda agar mereka dapat bersaing dan menyesuaikan diri dengan landskap teknologi baharu.
“Sebagai langkah awal, dana ini akan dimulakan melalui Projek Sigma. Saya sangat menghargai mutu dan keupayaan wartawan kita. Saya telah berbincang dengan Menteri Komunikasi, dan kita bersetuju untuk menubuhkan satu dana yang relatif besar demi menjamin media tempatan terus relevan,” katanya.
Projek Sigma sebelum ini hanya melibatkan enam syarikat media tempatan iaitu Astro Awani, Malaysiakini, Sinar Daily, New Straits Times, The Star dan Sin Chew Daily.
Sigma 2.0 melibatkan kerjasama enjin carian, Google dengan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) bagi mengadakan latihan dan kursus berkaitan pendekatan baharu dalam penyampaian berita dan penghasilan bahan kandungan, bertujuan membangunkan format kandungan digital yang lebih segar dan berkesan.
Projek Sigma 2.0 juga akan membolehkan agensi di bawah Kementerian Komunikasi seperti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Jabatan Penyiaran (RTM) Jabatan Penerangan (JaPen), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan organisasi media memahami dengan lebih mendalam corak penerimaan maklumat serta keperluan dan tingkah laku audiens Generasi Z (Gen Z).
Anwar turut menekankan peranan penting etika dalam penggunaan AI, agar teknologi itu tidak menjejaskan integriti kewartawanan serta nilai kemanusiaan dalam masyarakat.
Beliau berkata kemajuan teknologi seperti AI tidak boleh dilihat hanya dari sudut keupayaan teknikal atau ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu diimbangi dengan nilai, budaya serta prinsip kemanusiaan.
“Ini sebabnya mengapa soal keseimbangan AI dan etika perlu diterapkan dalam pemerkasaan ekonomi termasuk isu sustainability (kemampanan) yang kita bicarakan,” katanya.
“Fokus kita adalah untuk menggapai langit – industri baru, teknologi baru, cabaran baru, artificial intelligence (kecerdasan buatan), digital, kesediaan untuk mengadakan beberapa perubahan dan anjakan paradigma termasuk dalam isu transisi tenaga.
“Namun kita jangan sesekali mengesampingkan keutamaan kita, iaitu mempertahankan nilai dan etika yang bersandarkan kepada kebenaran dan keadilan,” katanya.
Perdana menteri turut mengulangi komitmen kerajaan untuk terus melaksanakan agenda reformasi, khususnya dalam aspek tatakelola kewangan dan membanteras rasuah yang dianggap sebagai endemik dan sistemik yang berlaku di negara ini.
“Percayalah negara ini akan hanya selamat kalau kita selesaikan masalah pokok (iaitu) soal pengurusan kewangan negara, baru kita boleh bicara tentang peruntukan tambahan…” katanya dan menambah ia (perubahan) perlu dilakukan dengan bijaksana dan tidak boleh dibuat secara gopoh.
Nnn