NEW YORK – Sekali lagi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuntut satu gencatan senjata segera, tanpa syarat, kekal di Gaza serta akses bantuan kemanusiaan.
Resolusi Perhimpunan Agung PBB itu tidak mengikat secara undang-undang, namun mencerminkan suara dan pendirian masyarakat antarabangsa terhadap isu semasa walaupun resolusi terdahulu diabaikan oleh pihak terlibat dalam konflik.
Resolusi itu diluluskan beberapa hari selepas Amerika Syarikat menggunakan kuasa veto ke atas usaha sama di Majlis Keselamatan.
Daripada 193 negara ahli, 149 mengundi menyokong, 19 berkecuali, manakala Amerika Syarikat, Israel dan 10 negara lain mengundi menentang.
Resolusi tersebut turut menuntut pembebasan tebusan yang ditahan Hamas di Gaza, pemulangan tahanan Palestin oleh Israel serta pengunduran penuh tentera Israel dari wilayah tersebut.
Teks resolusi itu turut mengutuk keras penggunaan kelaparan terhadap orang awam sebagai senjata perang, serta penafian akses bantuan kemanusiaan yang dianggap melanggar undang-undang antarabangsa.
Libya, melalui dutanya ke PBB, Taher El-Sonni, memberi amaran keras bahawa “bagi mereka yang menekan butang merah hari ini untuk menolak resolusi ini, ia akan menjadi noda darah di jari mereka.”
Pengundian itu berlangsung menjelang Persidangan PBB minggu hadapan yang dijangka memberi nafas baharu kepada usaha penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin.
Nnn