TEHRAN – Israel melancarkan serangan ke atas Iran awal pagi ini yang dijangka mencetuskan tindak balas pantas yang berkemungkinan membabitkan pelancaran peluru berpandu balistik secara besar-besaran, seperti yang berlaku tahun lalu.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, berkata ia mencetuskan kebimbangan berlaku perang habis-habisan antara dua kuasa ketenteraan utama di Asia Barat dan pada masa sama mengumumkan darurat di seluruh Israel.
Beliau turut menyatakan, serangan balas dengan peluru berpandu dan dron ke atas kawasan awam di Israel dijangka berlaku dalam masa terdekat.
Siren kecemasan telah dibunyikan di Jerusalem dan beberapa bandar utama lain.
Dalam pada itu, seorang pegawai kanan Iran mengesahkan bahawa Tehran telah diserang, dan pesawat pejuang Iran telah berlepas bagi mempertahankan ruang udara negara.
Pegawai itu juga mendakwa jet pejuang Israel sedang giat melancarkan serangan udara ke atas wilayah Iran.
Penduduk di Tehran turut melaporkan bahawa mereka mendengar beberapa letupan berturut-turut yang menggegarkan tingkap dan tanah, dengan cahaya terang kelihatan di langit bandar raya itu.
Ketika serangan berlaku, lebih 1,000 rakyat Iran sedang mengikuti satu sesi perbincangan langsung di aplikasi sosial Clubhouse, membincangkan isu diplomasi antara Iran dan Amerika Syarikat.
Sementara itu, laporan menyatakan bahawa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sedia maklum tentang kemungkinan serangan oleh Israel, namun tidak menyokong tindakan tersebut kerana pentadbirannya sedang berusaha merundingkan perjanjian baharu untuk mengekang program nuklear Iran.