Kedah kecewa hasrat haramkan judi terhalang

ALOR SETAR 13 Dis. –  Kedah akan meneliti proses undang-undang seterusnya susulan keputusan Mahkamah Rayuan,, yang tidak memihak kepada kerajaan negeri dalam isu sekatan lesen premis perjudian di Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mansor Zakaria, yang kecewa dan terkilan dengan keputusan itu akan mengadakan perbincangan bersama Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor.

Ia akan disusuli pertemuan dengan Penasihat Undang-Undang Negeri bagi meneliti hala tuju tindakan selepas ini berhubung perkara itu.

“Saya amat kecewa dan terkilan dengan keputusan hasil proses perundangan yang telah menyekat hasrat dan usaha Kerajaan Kedah untuk mengharamkan sepenuhnya operasi premis perjudian berlesen di negeri ini.

“Keputusan itu jelas tidak mencerminkan aspirasi dan kehendak majoriti rakyat Kedah yang menolak kewujudan aktiviti perjudian,” katanya dalam satu kenyataan melalui Facebook beliau, hari ini.

Semalam, Mahkamah Rayuan melalui keputusan majoriti 2-1, mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati arahan Kerajaan Kedah tidak mengeluarkan dan memperbaharui lesen perniagaan bagi perjudian, adalah tidak berperlembagaan.

Hakim Mahkamah Rayuan, Dr Lim Hock Leng dan Faizah Jamaludin, menolak rayuan yang difailkan oleh Kerajaan Kedah serta Menteri Besar, atas alasan tiada merit, manakala Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Azizah Nawawi pula menentang keputusan itu.

Ketika menyampaikan keputusan majoriti, Hock Leng dan Faizah memutuskan bahawa arahan Kerajaan Kedah itu adalah ultra vires (di luar kuasa) serta tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Hock Leng dipetik berkata, hal ehwal berkaitan perjudian dan loteri berada bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan kerana lesen untuk ejen serta pengusaha perjudian dikeluarkan serta dikawal selia oleh kementerian itu.

Faizah pula dipetik berkata, keengganan Kerajaan Kedah memperbaharui lesen premis perjudian, adalah menceroboh kuasa Persekutuan dan menjejaskan kuasa Menteri Kewangan bawah Akta Pertaruhan Wang Terkumpul.

Bagaimanapun, Azizah dipetik berkata, rayuan berkenaan sepatutnya dibenarkan kerana kerajaan negeri membuat keputusan itu atas dasar awam.

Pada 20 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Alor Setar memutuskan bahawa tindakan Kerajaan Kedah menghentikan pembaharuan lesen premis perjudian, berkuat kuasa 1 Januari 2023, sebagai tidak sah dan tidak munasabah.

Ia susulan enam permohonan semakan kehakiman difailkan oleh ejen dan syarikat pertaruhan serta pegawai kanan syarikat terbabit bagi mencabar tindakan itu.

Mansor berkata, dalam realiti sistem perundangan negara hari ini, kerajaan negeri terpaksa akur kepada keputusan yang ditentukan walaupun ia bertentangan dengan pendirian moral dan dasar pentadbiran negeri.

Namun, beliau berkata, Kerajaan Kedah tidak berputus asa dan akan meneruskan usaha murni itu dengan memanfaatkan sepenuhnya kerangka serta saluran perundangan sedia ada.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment