PUTRAJAYA 12 Jun – Kementerian Kerja Raya (KKR) memperuntukkan RM55 juta tahun ini bagi kerja-kerja penyenggaraan Lebuh Raya Timur-Barat (FT004) dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.
Menterinya, Alexander Nanta Linggi, berkata sejak di awal pelantikannya sebagai Menteri Kerja Raya, laluan Gerik-Jeli ini merupakan antara laluan pertama yang diberi penekanan untuk dibaik pulih secara berperingkat.
Katanya , enam bulan pertama sebagai Menteri KKR, beliau meluluskan peruntukan RM30 juta (Jun 2023) untuk membina semula sebahagian laluan di FT004, diikuti tambahan RM30 juta oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Meskipun jumlah ini tidak mencukupi untuk kerja pembaikan di seluruh laluan ini yang melebihi 200km panjangnya, namun KKR & JKR berusaha sedaya upaya mengagihkan peruntukan bagi membaik pulih beberapa bahagian laluan,” katanya.
Beliau yang turun ke lokasi nahas menyebabkan 15 penuntut UPSI terkorban di Jalan Raya Timur–Barat berkata sedikit demi sedikit, penambahbaikan dibuat secara berperingkat mengikut peruntukan yang diterima daripada Kerajaan.
Katanya, kemajuan kerja penyenggaraan di laluan berkenaan setakat 5 Jun lalu merangkumi pelbagai skop, termasuk penilaian turapan, pembaikan struktur jalan, pencahayaan serta keselamatan infrastruktur.
Menurut beliau, kerja-kerja Penilaian Keadaan Turapan (PCA) sudah siap sepenuhnya dan kini berada dalam peringkat penyediaan laporan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak.
Penilaian berkenaan menggunakan teknologi terkini seperti Multi Laser Profiler (MLP), Falling Weight Deflectometer (FWD), Dynamic Cone Penetrometer (DCP) serta kaedah Trial Pit .
Beliau berkata, teknologi dan kaedah berkenaan akan menjadi asas kepada perancangan penyenggaraan turapan akan datang.
Tambah beliau, pelaksanaan Program Berkala Bukan Pavemen membabitkan 10 skop kerja utama bernilai RM14.5 juta, termasuk pemasangan sistem penghadang, papan tanda, pembetung baharu serta penyenggaraan pagar jambatan.
Kerja pembinaan bagi program berkenaan bermula pada 17 April lalu dan sudah mencapai kemajuan 10 peratus, dijangka siap sepenuhnya pada 30 Ogos depan.
“Dalam aspek pencahayaan jalan, KKR turut melaksanakan Program Penyenggaraan Lampu Jalan dan Lampu Isyarat bernilai RM3.58 juta yang merangkumi penyelenggaraan lampu isyarat dan pemasangan lampu solar,” katanya.
Tambahnya, lokasi kemalangan tragis yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Seksyen 170.4 adalah antara lokasi dikenal pasti untuk pemasangan lampu solar khususnya di selekoh berbahaya mulai Julai.
“Projek itu kini dalam proses perolehan oleh JKR Perak dan dijangka siap pada penghujung Oktober 2025,” katanya.
Nanta berkata, bagi Program Penyenggaraan Berkala Pavemen, peruntukan RM80 juta sudah disediakan untuk 55 skop kerja yang akan dilaksanakan berdasarkan laporan PCA yang akan dimuktamadkan kelak.
“KKR memberi jaminan bahawa setiap sen diperuntukkan adalah demi kesejahteraan dan keselamatan pengguna jalan raya. KKR komited memastikan kerja penyenggaraan dilaksanakan secara cekap, berkesan dan mengikut jadual.
“Kerjasama serta kesabaran semua pihak amat dihargai dalam menjayakan pelaksanaan projek ini. Kami akan terus memantau rapi perkembangan kerja dan memaklumkan statusnya dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi Kementerian dan JKR,” katanya.
Nnnnn
