NEW DELHI – Setelah tersebar laporan kesemua 242 penumpang dan anak kapal dalam pesawat Air India terbunuh selepas terhempas, di Ahmedabad, muncul seorang penumpang yang terselamat dalam nahas udara itu.
Ramesh Vishwaskumar Bucharvada, warga Britain berusia 38 tahun itu dilaporkan satu-satunya individu yang terselamat.
Lelaki itu dilaporkan duduk di kerusi bernombor 11A sempat melompat keluar dari pesawat AI171 ketika nahas berlaku dan sebuah video tular menunjukkan Ramesh, yang mengalami kecederaan, berjalan menuju ke lokasi nahas.
Pesawat Boeing 787 Dreamliner kod AI171 berkenaan membawa 230 penumpang dan 12 kru dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel di Ahmedabad menuju Lapangan Terbang Gatwick, di London.
Portal India Today yang memetik sumber, melaporkan bekas Ketua Menteri Gujarat Vijay Rupani dipercayai berada dalam pesawat itu.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Udara India, Ram Mohan Naidu dalam satu kenyataan berkata, India terkejut dan bersedih dengan tragedi itu.
“Kami berada di tahap berjaga-jaga ketika ini. Saya secara peribadi sedang memantau situasi ini dan telah mengarahkan kesemua agensi penerbangan dan kecemasan untuk memberi kerjasama terbaik,” kata Ram Mohan.
Lapangan Terbang Gatwick dalam satu kenyataan mengesahkan pesawat AI171 dijadual untuk mendarat di Gatwick pada jam 6.25 petang (waktu tempatan).
Sementara itu, terdahulu Komisioner Polis, G.S. Malik mengesahkan semua penumpang telah terkorban dalam nahas pesawat yang membawa 217 penumpang dewasa, 11 kanak-kanak dan dua bayi.
Sejumlah 169 penumpang adalah warga India, 53 warga Britain, tujuh berbangsa Portugis dan seorang warga Kanada.
Malik turut dilaporkan berkata, kemungkinan besar beberapa individu dari kawasan nahas maut memandangkan pesawat berkenaan terhempas di atas tempat makan penginapan Kolej Perubatan B.J.
Nnnn
