KUANTAN 11 Jun – Kerajaan Pahang bersetuju mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape di negeri itu, yang turut mendapat perkenan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, fatwa pengharaman penggunaan vape adalah daripada Pejabat Mufti Pahang.
“Fatwa itu dimaklumkan kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang pada 3 Mac lalu melalui satu kertas yang dihantar oleh Pejabat Menteri Besar mengenai penggunaan vape dalam kalangan masyarakat masa kini.
“Kerajaan negeri mengambil maklum dan dibawa dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 14 Mei lalu dan mendapat perkenan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Hal Ehwal Agama Islam Pahang Bilangan 1 2025 di Bilik Gerakan Sri Pahang, Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), di sini hari ini.
Susulan keputusan itu, Syed Ibrahim meminta kerjasama semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menguatkuasakan secara lebih berhemah dari semasa ke semasa bagi mendidik masyarakat supaya tidak lagi terbabit dalam penggunaan vape.
Beliau berharap mulai tahun depan, tidak ada lagi tempat atau premis menjual vape sambil menasihatkan peniaga vape tidak perlu menambah stok yang sedia ada.
“Kita harap masyarakat tidak mengambil vape dan kedai-kedai tidak perlu menjual peralatan ini. Kita faham peniaga ada kekangan kerana sudah membelinya.
“Jadi bolehlah beransur-ansur tidak mengambil bekalan vape itu dan mereka yang menggunakannya (vape) juga boleh berhenti, berikhtiar, berazam dan meminta kepada Allah SWT diberikan kekuatan,” katanya.
Pada 18 November lalu, Al-Sultan Abdullah menyarankan penggunaan vape diharamkan secara menyeluruh.
Saranan itu dibuat susulan kebimbangan baginda terhadap penyalahgunaan dadah yang semakin meningkatkan di Pahang, terutama dalam kalangan belia berdasarkan statistik oleh Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK).
Titah baginda, antara punca utama golongan muda terjebak dalam ketagihan dadah secara langsung dan tidak langsung bermula dengan penggunaan vape.
Untuk rekod sebelum ini sudah ada empat negeri yang mengharamkan penjualan vape iaitu Johor, Kelantan, Terengganu dan Perak.
Nnnn