Tiada maaf, tiada rayuan permit batal serta merta

KUALA LUMPUR 11 Jun – Tiada peluang rayuan, pembatalan semua permit syarikat pengendali bas persiaran yang terbabit dalam kemalangan di Gerik, Perak kelmarin dibatalkan serta-merta, bersifat kekal dan tidak berubah.

Itu ‘hukuman’ awal yang dikenakan keatas syarikat berkenaan berikutan pelanggaran beberapa syarat permit.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pemilik syarikat melakukan dua kesalahan besar iaitu permit pengendalian bas dipajak kepada pihak ketiga dan pengendalinya tidak mengaktifkan GPS.

“Pemilik memajak kepada pihak ketiga. Pemilik beralamat di Kedah dan dipajakkan kepada pengendali di Kelantan dan dibayar RM500 sebulan.

“Ini melanggar syarat. Apabila mereka diminta serahkan laporan GPS, mereka tak dapat (serahkan) sebab GPS pun tak diaktifkan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Loke menegaskan, tiada peluang rayuan diberikan kepada syarikat pengendali bas ini, manakala pembatalan permit adalah kekal dan tidak berubah.

“Walaupun ada proses rayuan yang dia boleh buat, tapi saya mahu nyatakan tidak akan dilayan rayuan dia, akan dibatalkan serta merta. Kerana ini menunjukkan kecuaian yang tidak boleh dimaafkan.

Pertama dia melanggar syarat, pajakan (bas kepada pihak ketiga). Maknanya dia tak bertanggungjawab ke atas bas itu. Kedua, syarat sangat penting, ada GPS dia tak pasang dan aktifkan. Ini menunjukkan pemilik ini tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata, sungguhpun pemandu bas berkenaan mendakwa kononnya brek kenderaan itu tidak berfungsi, sehingga menyebabkan kemalangan maut, itu hanya sekadar kenyataan saja.

“Kita akan buat siasatan terperinci, forensik dan sebagainya untuk melihat sama ada betul atau tidak dakwaan itu. Tapi daripada rakaman ‘dashcam’ pengguna jalan raya lain, amat jelas ketika itu bas memotong dengan laju, memecut dan akhirnya terbabas.

“Daripada aspek ini, memang kita akan buat siasatan yang lebih terperinci. Sudah tentu kita akan membantu dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis untuk mengambil tindakan pendakwaan seterusnya,” katanya.

Dalam pada itu, Loke berkata, dalam mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju langkah Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk membina satu pangkalan data, yang akan memuatkan rekod semua pemandu sama ada bas ekspres atau bas persiaran.

Katanya, pangkalan data itu akan dibangunkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), supaya mana-mana pemandu yang ada rekod lampau boleh disenaraihitamkan.

“Sekarang dalam sistem kita belum ada pangkalan data yang menghimpunkan semua pemandu, kita hanya ada pelesenan. Sama ada mereka ada rekod atau tidak, syarikat menggaji mereka tidak ada rujukan.

Dalam sistem itu, kalau pemandu yang buruk itu, dia didapati tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik atau dipecat dari syarikat A, dia mungkin pergi ke syarikat B.

“Dalam pasaran juga mungkin ada pemandu yang berwibawa. Jadi kita mahu bangunkan satu pangkalan data untuk pemandu bas khususnya yang ada rekod lampau untuk jadi rujukan pengendali dan syarikat operasi,” katanya.

Jemaah Menteri juga sudah mengarahkan MOT supaya memberikan penekanan tegas terhadap isu penguatkuasaan dan latihan serta penilaian kepada pemandu.

Sementara itu, Loke berkata laporan awal kemalangan maut membabitkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Perak bulan lepas akan dimuat naik menerusi laman web MOT, esok.

Beliau berkata laporan itu turut mengandungi beberapa laporan teknikal agensi berkaitan termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

“Tujuan laporan ini dijadikan rujukan umum untuk memberikan ruang kepada orang ramai mengenai fakta kes dan ruang kepada penyelidik, khususnya pakar keselamatan jalan raya seperti bidang mekanikal untuk melihat segala fakta mengenai kemalangan itu dan boleh membuat kajian serta penyelidikan,” katanya.

Dalam kejadian pada 13 Mei itu, sembilan anggota FRU daripada Unit 5 Ipoh maut dalam nahas di Jalan Chikus–Sungai Lampam pada 8.50 pagi, semasa konvoi pasukan berkenaan dalam perjalanan pulang selepas bertugas sempena sambutan Chitirai Pournami di Teluk Intan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment