IPOH 9 Jun – Identiti 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Perak, awal pagi tadi, sudah dikenal pasti.
Mereka adalah empat pelajar dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) iaitu Nurul Izyanti Muhamad Azahar, Wan Nur Suhaila Wan Muhammad, Muhammad Adib Hazim Halim dan Nurul Fatihah Abu Setaman.
Mangsa turut membabitkan tiga pelajar Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) iaitu Nur Ainul Qistina Mat Ali, Nur Dalila Farhana Mohamad Isma dan Nurly Sahirah Azman; dua pelajar Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) iaitu Sufea Adela Maslihaizan dan Nik Amni Nadiah Nik Nor Zabir.
Turut terkorban dua lagi pelajar Fakulti Sains Matematik (FSMT) iaitu Mohammad Aqil Taqiuddin Mohd Sofian dan Fatin Nasrien Fadli.
Mangsa lain yang turut meninggal dunia ialah Muhammad Mustaqim Rosde (Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSLIK); Nor Ayuni Maslan daripada Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV); Anis Soffiyya Md Zaidi (Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSKJ) dan Fakhrul Arif Rosdi dari Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPEK).
Sementara itu, jenazah 14 penuntut itu dijangka disolatkan di Masjid Hadhari, Jertih, manakala jenazah seorang lagi mangsa akan disolatkan di masjid di Setiu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor, berkata semua van jenazah akan bergerak pulang serentak selepas proses di hospital selesai.
Terdahulu, 15 dilaporkan maut dalam kemalangan tragis membabitkan sebuah bas membawa pelajar UPSI dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza kira-kira pukul 1.10 pagi.
Bas berkenaan dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu menuju ke kampus universiti di Tanjung Malim.
Nnn