IPOH 5 Okt. – Prinsip ‘penyandang’ akan menjadi panduan pengagihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi mengelakkan pertindihan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata kedua-dua gabungan itu mencapai kata sepakat bagi memastikan PH dan BN tidak bertanding menentang satu sama lain di mana-mana kawasan.
Justeru Loke berkata, DAP akan mempertahankan semua enam kerusinya di Sabah dan mungkin bertanding satu atau dua lagi kerusi tambahan selepas rundingan bagi memastikan kemenangan bersama.
Katanya, PRN Sabah sekali lagi akan menjadi ujian dan cabaran dalam mengurus kerjasama dengan berkesan.
Bagaimanapun di Sabah, keadaan lebih kompleks kerana selain PH dan BN, terdapat banyak gabungan yang terbabit seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa parti lain.
“Walaupun semuanya adalah sebahagian daripada Kerajaan Madani di peringkat Persekutuan, perkara itu tidak semestinya terpakai di Sabah.
Sekurang-kurangnya kami sudah bersetuju tidak akan ada pertembungan kerusi antara PH dan BN di Sabah,” katanya pada Majlis Perasmian Konvensyen Tahunan DAP Perak ke-23, di sini hari ini.
Loke mengesahkan persetujuan itu dicapai di peringkat kepimpinan tertinggi dalam satu mesyuarat baru-baru ini yang turut dihadiri Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Prinsip paling asas yang mesti kita pegang ialah prinsip incumbency, yang turut ditekankan oleh BN. DAP menyambut baik dan menyokong prinsip ini. Ia bermaksud dalam sebarang bentuk kerjasama pilihan raya, jika kita bekerjasama, tidak seharusnya ada pertindihan kerusi.
“Walaupun kita mungkin menggunakan logo berbeza, prinsip utama ialah kita tidak bertanding sesama sendiri. Sesiapa yang memenangi kerusi itu sebelum ini harus diberikan penghormatan dan sokongan untuk mempertahankannya,” katanya.
Loke berkata, prinsip penyandang membolehkan parti penyandang mengekalkan hak untuk bertanding di kerusi sedia ada juga akan dihormati sepenuhnya oleh PH dan BN.
“Di kawasan yang dimenangi BN sebelum ini, PH tidak akan meletakkan calon dan begitulah sebaliknya. Bagi kerusi yang dimiliki PH, sama ada oleh DAP atau PKR, BN tidak akan bertanding di situ,” katanya.
Beliau berkata, susunan itu bertujuan memperkukuh kerjasama PH dan BN di Sabah, dengan mengekalkan perpaduan dalam gabungan amat penting menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“BN bebas menggunakan simbol dacing mereka, manakala PH akan terus dengan logo PH. BN kekal biru, kami kekal merah. Bersama-sama, merah dan biru boleh membentuk kekuatan baharu, tetapi asas utama yang kita tetapkan ialah prinsip penyandang.
“Itulah mesej yang ingin saya sampaikan. Prinsip ini, yang ditekankan kuat oleh pimpinan UMNO dan BN mesti difahami semua,” katanya juga menggesa parti-parti lain supaya menghormati susunan itu dan tidak membuat kenyataan terbuka mengenai pengagihan kerusi.
“Terdapat beberapa parti dan kumpulan yang terus bising setiap hari, mengatakan mereka tiada kerusi atau peluang, tapi mereka mesti memahami prinsip ini. Ini adalah peraturan asas, tidak perlu merajuk, menuding jari atau mengeluarkan ancaman. Saya berharap kita semua dapat mengamalkan politik matang.
“Jika ada mahu bergerak secara sendiri, itu hak mereka, tapi apabila kita menjadi sebahagian daripada gabungan, kita mesti mematuhi peraturan dan prinsip kerjasama,” katanya.
Nnn
