PRU sebaik saja BN siap siaga

KUALA LUMPUR 1 Jun – Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan diadakan sebaik sahaja Barisan Nasional (BN) sudah bersiap siaga di samping berbincang dengan pimpinan BN terlebih dahulu dalam menentukan tarikh pilihan raya.

“Kalau sudah bersiap siaga, saya tidak akan melewatkan sesaat pun PRU-15. Seperti yang dipersetujui pada Perhimpunan Agung UMNO, perkara berkaitan pilihan raya akan dibincangkan bersama lima pimpinan tertinggi UMNO.

Jadi kali ini saya bersetuju berbincang dengan pimpinan BN untuk menentukan tarikh pilihan raya umum akan datang,” katanya ketika berucap pada Konvensyen BN di sini, hari ini.

Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, mencadangkan tiga gerak kerja untuk BN laksanakan bersama dalam menghadapi PRU-15.

Gerak kerja pertama ialah BN harus berusaha mencapai budaya kerja kelas pertama yang ditafsir sebagai berpasukan, berdisiplin dan kesetiaan kepada parti.

“Pemimpin dan ahli BN yang setia bukanlah yang ada ketika senang sahaja, namun tetap bersama walau dilambung badai setinggi mana pun.

“Yang berada dalam dewan ini, sudah teruji kesetiaannya. Seinci pun tidak berganjak daripada parti walau berdepan dengan ugutan, tekanan, ancaman mahupun tawaran yang menggiurkan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, elemen kedua ialah BN perlu memenangi hati rakyat dan sebagai Perdana Menteri, beliau akan memastikan dasar dilaksanakan menguntungkan rakyat.

“Perkhidmatan terbaik harus diberi kepada rakyat. Kerajaan sentiasa cakna, mengambil berat, mencari inisiatif terbaik dan segera menyelesaikan masalah setempat.

“Elemen ketiga ialah merangka formula Strategi Kemenangan PRU-15 yang perlu fokus kepada pemantapan jentera pilihan raya antara parti komponen,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan BN wajib bekerja keras, bersiap siaga dan bersatu padu dalam menghadapi PRU-15 yang dijangka pada bila-bila masa dari sekarang.

Gesaan itu, katanya, bagi memastikan mimpi buruk 22 bulan ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah tidak berulang.

“Berdasarkan keputusan beberapa pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri, jelas rakyat kembali memberi kepercayaan kepada BN. Ini membuktikan kita mampu menawarkan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan negara.

“Walaupun pada penilaian kita rakyat sudah kembali kepada BN, kita tidak boleh selesa kerana masih banyak perlu dilakukan untuk memenangi hati rakyat bagi menjamin kejayaan dalam PRU-15,” katanya.

Beliau berkata, hanya kerajaan BN yang kuat mampu mewujudkan kestabilan politik dalam negara, sekali gus menyumbang kepada kemakmuran ekonomi rantau ASEAN.

“Sesungguhnya, ikrar kita pada hari ini adalah untuk memenangi PRU-15 dengan majoriti dua pertiga kerusi di Dewan Rakyat bagi membolehkan kita meneruskan agenda membantu rakyat dan memakmurkan negara. Insya-Allah,” katanya.

Perdana Menteri mengajak BN memperbaharui ikrar kepada rakyat keseluruhannya, ikrar untuk menjadi yang terbaik dan ikrar meneruskan kelangsungan perjuangan memartabatkan negara tercinta.

Related posts

Leave a Comment