KUALA LUMPUR 8 Jun – Permintaan data panggilan telefon bimbit oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) daripada syarikat telekomunikasi, tidak mengandungi identiti dan maklumat yang boleh digunakan untuk mengenal pasti mana-mana individu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata data yang diminta adalah untuk pengumpulan data bagi statistik rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan
menyokong pembentukan dasar berasaskan bukti, termasuk bagi penambahbaikan infrastruktur rangkaian.
“Tidak mengandungi sebarang maklumat peribadi, tapi lebih merujuk kepada trend supaya maklumat yang lebih terperinci dapat kita kumpulkan mengenai mutu, tahap penglibatan, jumlah pengguna yang ada pada satu-satu mukim, satu-satu daerah.
Sekarang ini banyak daripada maklumat tentang sektor telekomunikasi masih bersifat terlalu umum,” katanya kepada pemberita pada Majlis Korban Perdana Perpaduan UMNO Bahagian Lembah Pantai di sini hari ini.
Sebelum ini, agensi media South China Morning Post melaporkan bahawa MCMC telah mengeluarkan arahan mewajibkan syarikat telekomunikasi menyerahkan data semua panggilan telefon bimbit yang dibuat dari Januari hingga Mac.
Bagaimanapun , pada Jumaat lepas, MCMC dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa data yang diminta tidak mengandungi identiti dan sebarang maklumat yang boleh digunakan untuk mengenal pasti mana-mana individu.
Fahmi berkata pendekatan baharu yang lebih terperinci, akan membolehkan kerajaan menilai keperluan sebenar rakyat dan merapatkan jurang digital secara lebih efektif.
“Kita juga telah mula untuk berubah daripada memberi maklumat secara umum kepada Kawasan Berpenduduk yang Diliputi (COPA).
“Jadi kita nak pastikan dengan data yang dapat dikumpulkan bawah DOSM nanti, lebih banyak perancangan, dasar dapat berasaskan bukti, evidence-based policy making dan membawa satu kebaikan kepada rakyat,” katanya.
Fahmi berkata keputusan itu, merupakan hasil persetujuan bersama oleh syarikat-syarikat telekomunikasi dan MCMC serta melibatkan agensi-agensi seperti DOSM dalam siri bengkel yang telah diadakan sejak 2023.
Nnn