Serangan menjelang Aidiladha

BEIRUT – Ketika umat Islam bersedia menyambut Aidiladha, Israel melancarkan serangan keempat dan yang terbesar di Lubnan wilayah selatan Beirut dan memberi amaran akan meneruskannya selagi pejuang Hizbullah tidak melucutkan senjata.

Serangan terbaharu itu disifatkan oleh pemimpin Lubnan sebagai pelanggaran besar terhadap gencatan senjata November lalu.

Serangan yang bermula pada Khamis itu menyasarkan apa yang didakwa tentera Israel sebagai kilang bawah tanah pembuatan dron milik Hizbullah.

Ia dilancarkan selepas arahan pemindahan dikeluarkan oleh Israel menjelang sambutan Aidiladha, menyebabkan ribuan penduduk di kawasan selatan Beirut melarikan diri.

Sebelum ini, serangan terakhir berlaku pada akhir April, dalam tempoh enam bulan sejak perjanjian gencatan senjata dicapai bagi menamatkan pertempuran antara Hizbullah dan Israel.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz dalam satu kenyataan menegaskan, tidak ada

ketenangan di Beirut, dan tiada keamanan serta kestabilan di Lubnan, selagi keselamatan Israel tidak terjamin.

“Perjanjian mesti dipatuhi dan jika kamu tidak melaksanakan apa yang dituntut, kami akan terus bertindak, dan dengan kekuatan yang besar,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Hizbullah berkata penilaian awal mendapati sembilan bangunan musnah sepenuhnya manakala puluhan lagi mengalami kerosakan.

Tentera Israel mendakwa Hizbullah sedang ‘meningkatkan pengeluaran UAV (dron) untuk peperangan akan datang’ dalam tindakan yang digambarkan sebagai ‘pelanggaran nyata’ terhadap persefahaman gencatan senjata.

Related posts

Leave a Comment