Trump harap yang terbaik untuk Musk

WASHINGTON – “Saya hanya mengharapkan yang terbaik untuknya,” kata Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berhubung ‘sengketa’ dengan Elon Musk, yang pernah menjadi sekutunya.

Sambil menyifatkan Elon Musk sebagai ‘hilang akal’, beliau bagaimanapun menegaskan ingin melupakan persengketaan dengan bilionair terkenal itu.

“Saya terlalu sibuk dengan urusan China, Russia, dan Iran… saya tidak memikirkan mengenai Elon Musk. Saya hanya mengharapkan yang terbaik untuknya,” kata Trump seperti dilaporkan media.

Trump memberitahu wartawan demikian di atas pesawat Air Force One, dalam penerbangan ke kelab golf miliknya di New Jersey, semalam.

Perpecahan antara individu terkaya di dunia dan pemimpin paling berkuasa di dunia itu membawa risiko ketegangan politik serta ekonomi yang besar kepada kedua-dua pihak.

Terdahulu, Trump memberitahu stesen penyiaran AS beliau kini mahu memberi tumpuan kepada usaha meluluskan rang undang-undang (RUU) mega yang digelarnya sebagai ‘besar dan indah’ di Kongres.

RUU itu turut menjadi punca utama keretakan hubungan antara kedua-dua tokoh terbabit, selepas Musk mengkritiknya dengan keras.

Namun, pemimpin Republikan berusia 78 tahun itu tidak dapat menahan diri daripada menyindir bekas sahabatnya yang berasal dari Afrika Selatan itu ketika diminta mengulas.

“Awak maksudkan lelaki yang sudah hilang akal itu?” kata Trump dalam satu panggilan bersama ABC ketika ditanya mengenai Musk, sambil menambah bahawa beliau ‘tidak begitu berminat’ untuk berbicara dengan hartawan terbabit.

Trump kemudian memberitahu Fox News bahawa Musk sudah hilang pertimbangan.

Hanya seminggu lalu, Trump memuji Musk ketika beliau menamatkan peranannya dalam Jabatan Kecekapan Kerajaan atau Department of Government Efficiency (DOGE), selepas berkhidmat selama empat bulan.

Pertikaian mereka menjadi semakin sengit, dengan Musk melemparkan pelbagai tohmahan terhadap Trump termasuk menuduhnya, tanpa sebarang bukti, terbabit dalam fail kerajaan berkaitan ahli kewangan yang dipenjara atas kesalahan seksual, Jeffrey Epstein.

Trump membalas dengan menggunakan kuasa kerajaan AS, dan memberi amaran bahawa beliau boleh membatalkan kontrak roket serta satelit bernilai berbilion dolar milik ketua SpaceX itu.

“Ia membabitkan wang yang besar, subsidi yang besar. Jadi, kami akan pertimbangkan, hanya jika ia adil. Hanya jika ia adil untuk beliau dan juga negara,” katanya.

Musk pula dilaporkan cuba meredakan ketegangan di media sosial dengan

menarik balik ancaman menghentikan operasi kapal angkasa Dragon miliknya, yang penting dalam misi menghantar dan membawa pulang angkasawan Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Nnnn

Related posts

Leave a Comment