PUTRAJAYA 4 Jun – Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) diarah mempertingkatkan langkah keselamatan termasuk memasang pintu keselamatan penumpang di semua stesen Transit Aliran Ringan (LRT).
Arahan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) itu dibuat susulan tragedi yang menimpa seorang lelaki Taiwan yang maut digilis tren di Stesen Pusat Bandar Puchong semalam.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke, berkata, dari segi langkah-langkah keselamatan, sememangnya pihaknya sudah meminta Prasarana untuk merancang memasang pintu keselamatan penumpang itu di semua stesen LRT.
Beliau berkata, di stesen-stesen MRT baharu, memang ada pintu keselamatan, manakala di stesen LRT dan MRT sebelum ini, Prasarana perlu merancang untuk memasang pintu keselamatan penumpang itu
“Monorel pun telah kita siapkan, cuma untuk LRT aliran Ampang, ada stesen-stesen yang ini dengan reka bentuk lama, yang belum ada pemasangan pintu keselamatan di platform. Jadi, itu sesuatu yang saya minta Prasarana untuk melaksanakannya,” katanya pada sidang media hari ini.
Semalam, seorang lelaki warga Taiwan berusia,63, maut digilis gerabak LRT selepas dipercayai terjatuh ke atas landasan di Stesen Pusat Bandar Puchong.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.05 petang.
Loke berkata pemasangan kemudahan keselamatan tambahan itu dijangka membabitkan kos yang besar dan memerlukan bajet tambahan daripada kerajaan.
“Tetapi, memang kita memberikan pertimbangan yang sewajarnya dan memberikan prioriti untuk menambah baik keselamatan di stesen-stesen. Prasarana tengah buat perancangan, sebab semuanya akan melibatkan bajet untuk pembangunan tersebut,” katanya.
Nnnn
