Thailand longgar syarat kemasukan

BANGKOK 23 April – Thailand melonggarkan syarat kemasukan pelancong ke negara itu dengan membatalkan ujian RT-PCR bagi ketibaan antarabangsa untuk individu lengkap vaksinasi mulai 1 Mei ini.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), pelancong tidak perlu lagi  membuat tempahan awal penginapan hotel satu malam bagi menjalani ujian RT-PCR ketika ketibaan.

Di samping itu mesyuarat CCSA juga bersetuju insurans perubatan dikurangkan daripada US$20,000 kepada AS$10,000.

Bagi pelancong tidak lengkap vaksinasi, mereka perlu mengemukakan ujian RT-PCR negatif bagi pengecualian kuarantin dan mereka yang gagal mempamerkan sijil vaksinasi akan dikenakan kuarantin lima hari di pusat kuarantin ditetapkan negeri.

Mulai 1 April, pelancong antarabangsa juga tidak perlu lagi menjalani ujian Covid-19 72 jam sebelum berlepas tetapi dikehendaki memohon “Thailand Pass” bagi bukti vaksinasi dan insurans.

CCSA pada Jumaat juga meluluskan penjualan minuman beralkohol di restoran hingga tengah malam, bermula 1 Mei.

Thailand merekodkan 21,808 kes baharu dan 128 kematian dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kumulatif setakat ini sebanyak 4,128,038 kes dan 27,520 kematian.

Related posts

Leave a Comment