GAZA – Bagaikan diperdaya dengan janji bantuan kemanusiaan tetapi sebaliknya bertukar menjadi “pembunuhan terancang” dan “jenayah perang yang dilakukan dengan sengaja terhadap orang awam”.
Begitulah dakwaan Pejabat Media Kerajaan Gaza, susulan tiga orang terbunuh dan puluhan lagi cedera dalam insiden kekacauan ketika ribuan rakyat Palestin yang kelaparan berusaha mendapatkan bantuan makanan daripada Gaza Humanitarian Foundation (GHF), organisasi yang disokong oleh Amerika Syarikat dan Israel.
Dalam keadaan kelaparan serta cuaca panas terik pada Selasa, ribuan penduduk Gaza memanjat pagar dan merempuh orang ramai untuk mendapatkan bekalan makanan yang amat diperlukan.
Keadaan menjadi semakin tegang apabila helikopter tentera Israel berlegar di udara, sementara bunyi tembakan kedengaran di latar belakang.
Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, pasukan tentera Israel yang ditempatkan berhampiran kawasan tersebut melepaskan tembakan ke arah orang awam yang kelaparan, yang dikatakan telah diperdaya dengan janji bantuan kemanusiaan.
Israel, bagaimanapun, menafikan dakwaan diperdaya dan pembunuhan terancang sebaliknya menyatakan bahawa tentera mereka hanya melepaskan tembakan amaran di kawasan luar lokasi bantuan.
Mereka mendakwa bahawa keadaan telah dikawal dan pengagihan bantuan akan diteruskan seperti yang dirancang.
GHF, yang disokong AS dan mendapat kelulusan Israel mula beroperasi di Gaza walaupun organisasi itu dikritik tidak mempunyai pengalaman atau kapasiti untuk memberikan bantuan kepada lebih dua juta penduduk Gaza yang terjejas.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan bantuan antarabangsa menyatakan bahawa GHF tidak mematuhi prinsip kemanusiaan dan mungkin akan menyebabkan lebih ramai rakyat Palestin terpaksa berpindah dari kediaman mereka untuk mendapatkan bantuan.
Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, menyifatkan situasi ini sebagai “sangat menyayat hati”, dan menegaskan bahawa peningkatan operasi bantuan secara besar-besaran adalah penting untuk mengelakkan kebuluran serta memenuhi keperluan semua orang awam di Gaza.
Nnn
