KUALA LUMPUR 26 Mei – Ahli Lembaga Pengarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Ahmad Fauwaz Fadzil dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu berkuat kuasa Jumaat lalu, 23 Mei 2025.
Ahmad Fauwaz adalah anak kepada bekas Presiden Pas, Allahyarham Fadzil Noor dan memiliki kelulusan dalam bidang Syariah dari Universiti Al-Azhar serta Universiti Malaya, selain menjalani latihan kefatwaan di Dar al-Ifta, Mesir.
Pada Oktober lalu, kerajaan melantik Ahmad Fauwaz Fadzil sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas bagi menyediakan sukatan pelajaran pemulihan akidah mangsa dan pengikut GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Mohd Naim Mokhtar mengucapkan tahniah atas pelantikan itu.
Dalam kenyataannya, beliau berkata, lantikan itu mencerminkan keyakinan dan harapan tinggi kepemimpinan negara terhadap kebolehan dan kewibawaan Sahibus Samahah dalam mengemudi institusi fatwa dengan penuh integriti dan hikmah.
Katanya, Ahmad Fauwaz merupakan tokoh ilmuwan Islam yang prolifik dalam bidang perundangan Islam , pendidikan, kewangan Islam, dakwah dan penyelidikan.
“Saya mendoakan semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan dan kebijaksanaan kepada Sahibus Samahah dalam menggalas amanah besar ini, serta terus memimpin umat dengan hikmah dan keilmuan yang tinggi.
Pelantikan ini adalah satu lagi langkah penting dalam memperkukuh institusi mufti dan memastikan panduan syariah yang sahih, seimbang dan bertepatan dengan semangat Malaysia Madani
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Dr Sirajuddin Suhaimee dalam kenyataannya turut merakamkan ucapan tahniah kepada Ahmad Fauwaz atas pelantikan itu.
“Semoga Allah mempermudah segala urusan dan mengurniakan kekuatan dalam memikul amanah besar ini demi kemaslahatan ummah dan negara,” kata kenyataan itu.
Ahmad Fawwaz juga merupakan adik kepada Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil.
Nnnn