ISKANDAR PUTERI 26 Mei – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak akan dibuat lebih awal memandangkan penggal pentadbiran kerajaan negeri hanya akan berakhir pada April 2027, kata Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi.
Beliau berkata dengan tempoh dua tahun lagi, tumpuan penuh adalah kepada kerja-kerja pembangunan ekonomi dan infrastruktur demi manfaat rakyat.
“Ini bukan musim pilihan raya, penggal pentadbiran hanya akan tamat pada April 2027, ada dua tahun lagi jadi seperti dititahkan Pemangku Sultan Johor untuk kita fokus pembangunan negeri Johor.
“Marilah kita cari titik persamaan agar kerjasama dapat dicapai dan bukannya mencari titik perbezaan antara kita sehingga boleh menyebabkan perpecahan berlaku,” katanya pada sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Sebelum ini, ketika merasmikan pembukaan Persidangan DUN itu, Tunku Mahkota Ismail mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bahawa ketika ini bukan musim pilihan raya.
Baginda mahu semua 56 ADUN di Johor yang dipilih pada pilihan raya lalu memberi tumpuan berkhidmat untuk rakyat dan membantu negeri untuk terus membangun.
“Saya ingin ingatkan semua ADUN Johor bahawa sekarang bukan musim pilihan raya, setiap daripada anda sudah dipilih untuk berkhidmat kepada rakyat. Jadi sila fokus kepada tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
Sementara itu Onn Hafiz (BN-Machap) turut menzahirkan ucapan terima kasih dengan komitmen dan akhlak ditunjukkan ADUN pelbagai parti politik pada sidang DUN Johor.
“Kita berbeza parti dan ideologi politik, namun saya dapat rasakan keharmonian di sidang DUN Johor ini.
“Saya akan laporkan kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bahawa semua Ahli Dewan menjunjung tinggi keharmonian dan menunjukkan semangat muafakat tinggi.
“Johor mesti jadi Johor, kita mesti menjadi contoh. Marilah kita dengar bukan sahaja dengan telinga tetapi juga dengan hati dan jiwa. Jangan hanya bercakap untuk direkodkan sebaliknya bercakaplah untuk menyelesaikan isu rakyat,” katanya.
Terdahulu, beberapa pemimpin politik mendakwa PRN Johor mungkin diadakan seawal tahun depan sehingga wujud desakan supaya Barisan Nasional (BN) Johor menyatakan pendirian sama ada akan bergerak solo atau bekerjasama.
Pada PRN Johor lalu, BN memperoleh kemenangan majoriti dua pertiga dengan menawan 40 daripada 56 kerusi DUN.
Nnnn