Mangsa rabies pernah dicakar kucing

KUCHING 26 Mei – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun menjadi mangsa terbaharu iaitu kes pertama jangkitan rabies atau wabak anjing gila dalam kalangan manusia di Sarawak pada tahun ini.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dr Stephen Rundi Utom berkata mangsa dari Kampung Segedup, Batu Kawa di sini, kini dalam rawatan lanjut.

Beliau berkata mangsa mula dikesan mengalami gejala demam, hilang selera makan, muntah, halusinasi, meracau, sukar berjalan dan sukar minum air pada 21 Mei lalu.

Katanya, kanak-kanak itu mendapatkan rawatan awal di sebuah hospital swasta sebelum dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dan ujian klinikal mengesahkan jangkitan rabies.

Siasatan mendapati mangsa mempunyai sejarah dicakar kucing terbiar namun tidak mendapatkan rawatan.

“Berdasarkan kebanyakan kes yang berlaku sebelum ini, apabila sampai tahap ini, memang sudah agak kritikal,” katanya pada sidang media Persidangan Rabies di Borneo, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Datuk Dr Adrian Susin Ambud dan Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Datuk Dr Chai Khin Chung.

Stephen berkata susulan kanak-kanak itu disahkan positif rabies, operasi dijalankan pihak berkuasa di kawasan itu untuk menangkap anjing dan kucing liar di kawasan terbabit.

Katanya, sebanyak 21 sampel kucing diambil dengan dua daripadanya didapati positif.

Menurutnya, jumlah kumulatif kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak sejak Julai 2017 sehingga kini adalah 84 yang membabitkan 76 kematian.

(Foto Kementerian Industri)

Related posts

Leave a Comment