PBAKL 2025 bermula, sasar 1.9 juta pengunjung

KUALA LUMPUR 23 Mei – Buat julung kalinya, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 menampilkan Galeri Khas TEROKA bagi memberi penghormatan kepada keagungan karya tempatan serta keunikan sejarah perbukuan negara.

Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd Khair Ngadiron, berkata TEROKA menampilkan koleksi karya-karya terkenal penulis tempatan, termasuk karya klasik hingga karya moden, yang mencerminkan keberagaman budaya, sejarah, dan identiti Malaysia.

Katanya, pengunjung dapat melihat dengan lebih dekat bagaimana industri perbukuan Malaysia berkembang seiring perubahan zaman, serta menyaksikan pencapaian besar penulis dan penerbit tempatan dalam arena global.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pembuka Tirai PBAKL Ke-42 2025 hari ini yang  berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

PBAKL 2025 yang bermula hari ini sehingga 1 Jun menyaksikan penganjuran terbesar dalam sejarah dengan 1,172 reruai dan 258 pempamer termasuk 28 pempamer antarabangsa daripada negara ASEAN, Iran, Kerajaan Bersatu (UK), serta Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Lebih 1.9 juta pengunjung dijangka menghadiri PBAKL tahun ini sepanjang 10 hari penganjuran, menjadikan ia antara acara buku paling mendapat sambutan di dunia.

Terdahulu, Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan (KPM), Aniza Kamarulzaman hadir merasmikan PBAKL 2025 yang bertemakan ‘Buku: Membaca dan Memimpin’.

Aniza berkata PBAKL bukan hanya sekadar acara tahunan, tetapi medan penting mengangkat martabat buku selain memperkukuh budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

“Tema PBAKL tahun ini iaitu ‘Buku: Membaca dan Memimpin’, amat bererti buat kita semua kerana ia bukan hanya slogan, tetapi seruan strategik untuk memperkukuh budaya membaca sebagai asas pembinaan pemimpin masa depan.

“Sebagai agensi bertanggungjawab terhadap sumber dan teknologi pendidikan, BSTP melihat PBAKL sebagai ruang sinergi antara cetakan dan digital; pendidik dan pengkarya; serta antara pelajar dan pemikir.

“Dalam edisi kali ke-42 ini, kita turut meraikan pembabitan pelbagai kementerian dan rakan strategik bagi mengangkat ekosistem perbukuan.

“Ini jelas merujuk kepada satu pendekatan menyeluruh. Kita juga meraikan usaha memperluas akses, memartabatkan penerbit tempatan dan mendidik generasi celik informasi,” katanya.

Pesta buku kali ini menampilkan lima astaka khas yang membawa pelbagai segmen agar masyarakat lebih dekat dengan dunia literasi seperti Pavilion Al-Falah (menghimpunkan 14 agensi agama), Pavilion Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Perpaduan Negara, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Pavilion Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).

Nnnn

Related posts

Leave a Comment