KUALA LUMPUR 20 Mei – Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan dakwaan Timbalan Presiden Rafizi Ramli bahawa pelantikan vendor untuk mengendalikan sistem pemilihan parti itu tidak dibincangkan.
Pengerusi JPP, Dr Zaliha Mustafa, menjelaskan perkara itu serta isu pelantikan auditor bagi pemilihan PKR sebaliknya sudah dibangkitkan pada mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sebelum ini.
Perbincangan itu, turut membabitkan Rafizi, dan Ahli Parlimen Pandan itu hanya mempertikaikan pelantikan auditor bagi pemilihan parti yang dijadual diadakan pada Kongres PKR di Johor Bharu, minggu ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), itu berkata, beliau masih ingat, ada perbincangan dilakukan dalam Biro Politik dan MPP mengenai lantikan dan vendor serta auditor bagi pemilihan PKR.
“Memang ada perbincangan dan saya ingat ketika itu memang Rafizi langsung tidak mempertikaikan lantikan vendor iaitu yang membuat sistem pemilihan.
“Yang dibincangkan ialah lantikan auditor, kenapa sekarang bila sudah selesai pemilihan peringkat cabang baru hendak pertikai pula tentang lantikan vendor? Jadi macam tak ‘sync’ bagi saya.
“Sistem ini juga akan digunakan dalam pemilihan peringkat Pusat di Kongres PKR di Johor Bharu nanti, tentunya ada penambahbaikan dan ini biasa, mengikut keperluan sebab sistem pemilihan bagi Pusat sedikit berbeza dengan peringkat cabang,” katanya dalam rakaman yang dimuat naik di Facebooknya.
Rafizi ketika berucap pada program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK) Perak semalam, mendakwa pelantikan vendor untuk mengendalikan sistem pemilihan parti itu dilantik secara rahsia dan tidak dibincangkan terlebih dahulu di peringkat Biro Politik.
Dr Zaliha berkata, ketetapan untuk melaksanakan pemilihan secara dalam talian (e-voting) juga dibuat menerusi perbincangan bersama Biro Politik dan MPP, dengan perkara itu diminitkan pada 14 November lalu.
Cadangan itu, katanya, disarankan selepas Setiausaha Agung baharu, Fuziah Salleh dilantik, mengesyorkan sistem keanggotaan, ADIL diperluaskan dengan menambah baik 26 entiti yang dikenal pasti dalam aplikasi berkenaan.
Beliau berkata, Biro Politik dan MPP sekali lagi memutuskan supaya pemilihan parti menggunakan e-voting, pada 30 November lalu, dengan pelaksanaannya dibuat mengikut dua mekanisme iaitu secara dalam talian serta fizikal.
“Itu keputusan yang dibuat dan ia adalah natural jika mahu gunakan aplikasi ADIL, daripada sistem keanggotaan, kita perluaskan kepada sistem pemilihan.
“Dalam keadaan masa dan sebagainya, maka diteruskan dengan vendor yang digunakan bagi penambahbaikan sistem keanggotaan itu pula dilantik sebagai vendor yang akan juga menambahkan sistem pemilihan 2025 dalam aplikasi ADIL,” katanya.
Dr Zaliha juga mengingatkan semua pihak supaya tidak mengheret JPP dalam pertembungan antara calon pada pemilihan PKR kali ini.
“Insya-Allah, JPP akan kekal sebagai badan bebas dan kita memastikan perjalanan pemilihan akan berlaku dengan baik, adil, bersih, bebas, telus dan berintegriti.
“Berkempenlah secara sihat dan matang, kemukakan kekuatan masing-masing serta tawaran bagi kebaikan parti untuk kekal relevan,” katanya.
Sebagai badan bebas, JPP komited untuk memastikan proses pemilihan berjalan lancar berdasarkan prinsip demokrasi yang adil dan telus.
“Kita akan pastikan perjalanan pemilihan pada kongres (Kongres Nasional PKR) berlangsung dengan baik dan insya-Allah kita akan tetap memastikan pemilihan berlaku secara adil, bersih, telus dan berintegriti.
“Berkempenlah dengan cara yang sihat dan matang, kemukakan kekuatan masing-masing dan apa yang anda boleh lakukan untuk kebaikan parti dan demi parti terus relevan,” katanya.
NNNN